SIDANG Kemuncak Peringatan ASEAN-Russia yang berlangsung di Kazan, Russia pada 17 hingga 18 Jun lalu menjadi detik penting dalam memperingati 35 tahun hubungan ASEAN dengan negara itu berserta 30 tahun Moscow sebagai Rakan Dialog ASEAN.
Penyertaan kesemua 11 negara anggota ASEAN mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam landskap geopolitik dunia yang semakin kompleks.
Pertemuan di Kazan meneruskan kesinambungan siri sidang kemuncak yang sebelum ini diadakan di Kuala Lumpur pada 2005, Hanoi (2010), Sochi (2016), Singapura (2018) dan secara maya pada 2021.
Pemimpin ASEAN turut mengadakan pertemuan dua hala bersama Presiden Russia, Vladimir Putin bagi membincangkan usaha memperluas kerjasama mengikut kepentingan masing-masing.
Antara pencapaian utama sidang kemuncak kali ini ialah pemeteraian empat dokumen penting, termasuk Deklarasi Kazan iaitu ASEAN-Persekutuan Russia: Perpaduan dalam Kepelbagaian – 35 Tahun Bersama, dua kenyataan bersama berkaitan kerjasama tenaga dan kebudayaan serta Pelan Tindakan Komprehensif bagi Melaksanakan Perkongsian Strategik ASEAN-Russia untuk tempoh 2026 hingga 2030.
Walaupun ada pihak berpandangan skop kerjasama ASEAN-Russia belum dimanfaatkan sepenuhnya, hakikatnya hubungan kedua-dua pihak terus berkembang dengan merangkumi pelbagai bidang baharu.
ASEAN dan Russia berkongsi aspirasi untuk mewujudkan susunan dunia yang lebih adil, seimbang dan berteraskan undang-undang antarabangsa dalam era dunia berbilang kuasa yang semakin jelas terbentuk.
Dalam konteks itu, model kerjasama ASEAN sebagai contoh terbaik bagaimana negara yang berbeza sistem politik, ekonomi dan budaya mampu membina persefahaman melalui prinsip seperti Cara ASEAN dan Kepusatan ASEAN.
Pendekatan ini bukan sahaja menggalakkan dialog, malah membantu mengurangkan persaingan kuasa besar di rantau ini.
Kerjasama ini diperluaskan meliputi Asia-Pasifik, Lautan Hindi dan Eurasia.
Hubungan antara ASEAN dengan Kesatuan Ekonomi Eurasia serta Pertubuhan Kerjasama Shanghai terus diperkukuh, manakala Russia turut menyatakan sokongan terhadap empat bidang keutamaan Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP), iaitu kerjasama maritim, kesalinghubungan, pembangunan mampan dan kerjasama ekonomi.
Aspek keselamatan turut diberikan perhatian apabila bersetuju memperkukuh kerjasama dalam menangani cabaran keselamatan maritim dan ancaman biologi.
Keutamaan turut diberikan kepada usaha menjamin kebebasan pelayaran, keselamatan laluan perdagangan serta perlindungan infrastruktur bawah laut, terutama ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik yang semakin ketara.
Dalam sektor ekonomi pula, kerjasama tenaga muncul sebagai antara agenda paling penting. Pergolakan di Asia Barat dan gangguan terhadap laluan perdagangan global menjadikan keselamatan bekalan tenaga sebagai keutamaan banyak negara.
Dalam keadaan ini, Russia berpotensi memainkan peranan sebagai rakan strategik bagi membantu negara-negara ASEAN mempelbagaikan sumber tenaga mereka.
Beberapa perkembangan mutakhir mengukuhkan lagi kerjasama tersebut. Filipina mula mendapatkan bekalan minyak dari Russia, Vietnam menghidupkan semula projek loji janakuasa nuklear yang tertangguh sejak 2016, manakala Indonesia memperhebat rundingan berkaitan keselamatan tenaga.
Malaysia dan Thailand pula menyatakan minat untuk membeli minyak Russia, sementara Laos menandatangani perjanjian bagi membangunkan tenaga nuklear untuk tujuan aman.
ASEAN dan Russia turut mengenal pasti pelbagai sektor baharu yang berpotensi diteroka bersama, termasuk keterjaminan makanan, pertanian, ekonomi digital, pelancongan dan pembangunan kecerdasan buatan (AI).
Kerjasama kebudayaan juga semakin diberi penekanan melalui pembangunan industri kreatif, syarikat pemula niaga serta penggunaan teknologi digital dalam mempromosikan warisan budaya.
Malah, pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar dan Putin di luar Sidang Kemuncak Kazan memperlihatkan komitmen kedua-dua negara untuk terus memperkukuh kerjasama.
Malaysia, yang pernah menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN-Russia pertama, turut menyokong peningkatan hubungan Russia sebagai Rakan Dialog kepada status Perkongsian Strategik.
Penyertaan komuniti perniagaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Kazan turut membuktikan hubungan ASEAN-Russia kini bukan lagi terhad kepada diplomasi, sebaliknya berkembang sebagai perkongsian strategik yang merangkumi perdagangan, pelaburan, teknologi, tenaga dan inovasi.
Selepas 35 tahun, kerjasama ASEAN-Russia terus berkembang sebagai platform penting dalam membina kestabilan serantau serta menghadapi cabaran global secara bersama. –UTUSAN
PENULIS ialah Pengarah Pusat ASEAN.










