Trauma emosi menentukan identiti wanita

Trauma emosi menentukan identiti wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERBINCANGAN mengenai masalah identiti gender dan seksualiti wanita semakin menonjol dalam kalangan masyarakat terutamanya di media sosial.

Antara sebab mengapa kelompok wanita lesbian kurang dikaji adalah kerana hubungan sesama wanita tidak dianggap sebagai faktor utama penyebaran HIV seperti yang berlaku dalam kalangan lelaki homoseksual.

Sejak beberapa dekad lalu, sebahagian besar dana, polisi dan kajian kesihatan seksual tertumpu kepada kumpulan lelaki yang mempunyai hubungan sejenis kerana kaitannya dengan epidemik HIV/AIDS. Akibatnya, masyarakat mudah menganggap wanita lesbian sebagai ‘kurang berisiko, sedangkan hakikatnya mereka turut berdepan pelbagai masalah kesihatan yang signifikan.

Kajian mendapati wanita lesbian dan biseksual mempunyai kadar tingkah laku berisiko kesihatan yang lebih tinggi berbanding wanita heteroseksual.

Beberapa kajian populasi melaporkan prevalens merokok dalam kalangan lesbian dan biseksual boleh mencapai sekitar 37 hingga 50 peratus berbanding kira-kira 14 peratus dalam kalangan wanita heteroseksual.

Selain itu, mereka juga didapati lebih cenderung mengalami obesiti, penyalahgunaan alkohol dan tekanan psikologi yang serius.

Dari aspek kesihatan mental pula, kadar kemurungan, keresahan dan tekanan emosi didapati lebih tinggi, khususnya apabila mereka berhadapan penolakan keluarga, stigma sosial dan konflik identiti.

 

ISU lesbian dalam kalangan wanita perlu difahami secara menyeluruh termasuk faktor trauma, konflik keluarga, tekanan emosi, pengaruh media sosial dan persekitaran.

 

TRAUMA KELUARGA, KONFLIK EMOSI BENTUK IDENTITI SEKSUAL

Lebih membimbangkan, beberapa kajian menunjukkan pengalaman trauma semasa kecil sering muncul sebagai faktor penting dalam perkembangan identiti seksual sesetengah wanita lesbian.

Antara pengalaman yang dilaporkan termasuk penderaan fizikal oleh ibu bapa, pengabaian emosi, keganasan rumah tangga serta penderaan seksual semasa kanak-kanak.

Ada responden melaporkan mereka membesar dalam suasana keluarga yang tegang, sering dimarahi atau dipukul, malah ada yang merasakan layanan ibu bapa lebih memihak kepada adik-beradik lelaki. Keadaan ini mendorong sesetengah anak perempuan membentuk identiti lebih maskulin sebagai mekanisme untuk mendapatkan perhatian atau rasa dihargai.

Tidak kurang juga yang mengalami trauma setelah melihat keganasan terhadap ibu di rumah atau mempunyai pengalaman negatif dengan lelaki sejak kecil.

Pengalaman seperti ini boleh mempengaruhi pembentukan emosi dan persepsi terhadap hubungan lelaki dan wanita.

Walaupun tidak semua wanita lesbian datang daripada keluarga bermasalah, namun faktor keluarga tetap merupakan aspek penting yang perlu dikaji secara objektif dan ilmiah.

Menafikan peranan institusi keluarga dalam pembentukan psikososial anak hanya akan menyebabkan kita gagal memahami akar sebenar masalah.

Kajian turut menunjukkan perkembangan identiti lesbian berlaku secara beransur-ansur dan dipengaruhi pelbagai faktor sosial. Ia biasanya bermula dengan perasaan ‘berbeza’ sejak kecil atau remaja, diikuti proses mencari identiti melalui rakan sebaya, media sosial dan komuniti tertentu. Akhirnya, individu mungkin membentuk rasa penerimaan dan identiti dalam kelompok sosial yang berkongsi pengalaman yang sama.

Dalam era digital hari ini, media sosial memainkan peranan besar dalam mempercepatkan proses normalisasi dan pengukuhan identiti tersebut.

Dari perspektif Islam, musahaqah atau lesbian merujuk kepada perlakuan seksual antara seorang wanita dengan wanita lain. Dalam istilah fiqh Islam, musahaqah berasal daripada perkataan Arab sahaq yang bermaksud menggosok atau menggesel dan dari sudut istilah pula ia merujuk kepada wanita yang melakukan hubungan seksual sesama jantina.

Apa yang membezakan musahaqah dengan zina ialah tiadanya ilaj, iaitu kemasukan zakar ke dalam faraj.

Para ulama menghukum perbuatan ini sebagai haram berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Mu’minun, ayat 5-7 yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tidak tercela. Barang siapa mencari selain daripada itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.”

Ayat ini menjadi asas hubungan seksual hanya dibenarkan dalam ruang perkahwinan yang sah menurut syariat Islam.

Justeru isu ini perlu ditangani dengan pendekatan yang komprehensif dengan kefahaman mendalam terhadap realiti psikososial manusia termasuk memahami latar belakang trauma, konflik keluarga dan kekosongan emosi dalam merangka strategi menyelesaikan masalah.

Islam menekankan pemulihan, penjagaan maruah insan dan pengukuhan fitrah manusia.

Pendekatan kini perlu menggabungkan ilmu agama, psikologi, kaunseling keluarga, pendidikan dan kesihatan mental.

Institusi keluarga juga perlu diperkasakan kerana pembentukan emosi dan identiti anak bermula sejak kecil di rumah.

Pada masa sama, penyelidikan tempatan yang lebih mendalam perlu digiatkan agar masyarakat memahami isu ini berdasarkan realiti budaya dan sosial Malaysia, bukan semata-mata melalui kerangka Barat.

Justeru penubuhan pusat kajian, sokongan dan intervensi seperti MyGIFT di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bertujuan menangani isu ini.

MyGIFT adalah singkatan kepada Pengukuhan Identiti Gender Berteraskan Fitrah yang berperanan sebagai platform sokongan, pendidikan dan rujukan berkaitan isu identiti gender, kesejahteraan psikospiritual dan pengukuhan nilai fitrah.

Inisiatif seperti ini penting dalam menyediakan pendekatan yang komprehensif dengan menggabungkan elemen kaunseling, pendidikan, sokongan keluarga serta kefahaman agama dalam membantu individu yang berhadapan konflik identiti dan cabaran psikososial.

Kerawakan perkongsian berunsur lesbianisme dalam kalangan remaja dan belia wanita di media sosial harus ditangani dengan lebih sistematik.

Tanpa melihat kepada isu ini secara menyeluruh, dikhuatiri penyelesaian yang ditawarkan bakal meletakkan golongan muda dalam risiko sosial yang lebih besar lagi.-UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Rafidah Hanim ialah Profesor Fisiologi Gender, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Pengerusi Pengukuhan Identiti Gender Berteraskan Fitrah (MyGIFT).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN