PERBAHASAN mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan laluan pendidikan tahfiz ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sering kali tenggelam dalam polemik politik dan sentimen perkauman.
Ada pihak melihat isu ini sebagai ancaman terhadap sistem pendidikan kebangsaan, manakala sebahagian lain menganggap ia soal hak pendidikan dan pengiktirafan kepelbagaian masyarakat Malaysia.
Hakikatnya, isu ini perlu diperbahaskan secara matang, seimbang dan berpandukan Perlembagaan Persekutuan serta nilai Islam yang menjadi asas penting dalam pembinaan negara bangsa.
Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang dibina atas semangat toleransi, kompromi dan pengiktirafan terhadap kepelbagaian budaya serta pendidikan.
Dalam konteks ini, kewujudan sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat, sekolah persendirian Cina dan pelbagai bentuk pendidikan alternatif bukanlah sesuatu yang asing dalam landskap pendidikan negara. Bahkan, hal ini berkembang sebagai manifestasi kebebasan masyarakat untuk memelihara identiti, bahasa dan tradisi masing-masing sebagaimana dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Namun demikian, pengiktirafan terhadap UEC dan pendidikan tahfiz tidak boleh dilihat sekadar tuntutan politik atau kemenangan sesuatu kelompok. Sebaliknya, perlu difahami sebagai usaha memperluaskan akses pendidikan kepada rakyat Malaysia yang lahir daripada sistem pendidikan yang berbeza tetapi masih mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
Islam sendiri meletakkan pendidikan sebagai asas pembinaan tamadun. Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui firman Allah SWT dalam Surah al-‘Alaq dimulakan dengan perkataan “Iqra’” yang bermaksud “bacalah”.
Ini menunjukkan ilmu merupakan teras utama dalam kehidupan manusia. Islam tidak pernah mengehadkan ilmu kepada satu aliran tertentu sahaja, bahkan mengiktiraf kepelbagaian cabang ilmu selagi membawa manfaat kepada manusia selagi tidak bercanggah dengan syariat.
Dalam sebuah hadis riwayat Ibn Majah, Rasulullah SAW bersabda bahawa menuntut ilmu adalah kewajipan ke atas setiap Muslim. Kewajipan ini bersifat umum dan tidak dibataskan kepada sistem pendidikan tertentu. Oleh itu, pelajar tahfiz yang mendalami ilmu al-Quran serta pelajar UEC yang melalui sistem pendidikan persendirian tidak seharusnya dipinggirkan daripada peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi semata-mata kerana perbezaan laluan pendidikan.
Dalam konteks Malaysia, asas bersama itu ialah Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedaulatan undang-undang serta prinsip Rukun Negara. Sebab itu, pengiktirafan terhadap UEC dan pendidikan tahfiz perlu dilaksanakan dalam kerangka nasional yang jelas serta terkawal, dan bukannya secara bebas tanpa syarat.
Kerajaan sebenarnya mengambil pendekatan yang lebih sederhana dan seimbang dalam isu ini. Laluan yang dibuka kepada pemegang UEC dan lepasan tahfiz ke IPTA bukanlah pengiktirafan mutlak sehingga meletakkan sijil tersebut setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mahupun Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Sebaliknya, kerajaan masih mengekalkan syarat penting seperti kewajipan lulus bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan Lembaga Peperiksaan Malaysia.
Pendekatan ini wajar dilihat sebagai jalan tengah yang cuba mengimbangi hak pendidikan dengan kepentingan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Bahasa Melayu dan Sejarah dikekalkan sebagai syarat asas kerana kedua-duanya mempunyai nilai integrasi nasional yang sangat penting.
Ini kerana bahasa Melayu bukan sekadar medium komunikasi tetapi simbol identiti negara dan wahana perpaduan rakyat. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Pada masa sama, Perlembagaan juga tidak melarang penggunaan dan pembelajaran bahasa lain. Ini menunjukkan negara mengambil pendekatan yang bersifat inklusif dan bukan asimilasi mutlak.
Begitu juga dalam konteks pendidikan tahfiz. Pelajar tahfiz mempunyai kekuatan tersendiri dalam penguasaan ilmu agama, hafazan al-Quran dan pembentukan akhlak. Namun, cabaran utama yang sering mereka hadapi ialah keterbatasan akses ke IPTA akibat tidak mengikuti aliran pendidikan formal sepenuhnya.
Maka, membuka laluan khas yang bersyarat kepada mereka sebenarnya selari dengan semangat keadilan sosial yang dianjurkan Islam.
Atas sebab itu, isu UEC dan tahfiz tidak sewajarnya diperdebatkan dengan nada kebencian atau ketakutan melampau. Hal yang lebih penting ialah memastikan setiap bentuk pengiktirafan dilakukan dalam kerangka undang-undang yang jelas, telus dan tidak menjejaskan asas negara.
Kebimbangan sesetengah pihak bahawa pengiktirafan UEC akan melemahkan sistem pendidikan kebangsaan perlu diteliti secara objektif. Jika kerajaan menetapkan syarat yang ketat, mengehadkan bidang tertentu dan memastikan pematuhan terhadap syarat bahasa Melayu serta Sejarah, maka risiko terhadap identiti nasional boleh dikawal.
Malah, pendekatan yang terlalu keras dan tertutup juga boleh membawa kesan negatif terhadap perpaduan negara.
Dalam masyarakat majmuk, rasa terpinggir dan tidak diiktiraf boleh menimbulkan jurang sosial yang lebih besar. Islam sendiri menekankan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan dalam membuat keputusan. Prinsip ini sangat penting dalam mengurus isu sensitif seperti pendidikan.
Pada masa sama, pihak yang memperjuangkan pengiktirafan UEC juga perlu memahami sensitiviti masyarakat dan menghormati asas pembinaan negara. Pengiktirafan tidak boleh ditafsirkan sebagai usaha menolak Dasar Pendidikan Kebangsaan atau memperkecilkan kedudukan bahasa Melayu.
Sebaliknya, ia perlu dilihat sebagai usaha mencari titik temu antara kepelbagaian pendidikan dengan kepentingan integrasi nasional.
Perlembagaan Persekutuan ialah kontrak sosial yang menjadi asas kestabilan negara. Ia bukan sekadar dokumen undang-undang tetapi panduan bagaimana masyarakat berbilang kaum hidup bersama secara harmoni. Justeru itu, sebarang dasar berkaitan pendidikan perlu dilaksanakan dengan berhati-hati dan melalui proses perundingan yang baik.
PERLU TELUS
Apa yang penting ialah kejelasan dasar. Kerajaan perlu menerangkan secara telus apakah syarat, had dan mekanisme pengiktirafan yang diberikan kepada UEC dan tahfiz. Ketelusan ini penting bagi mengelakkan salah faham serta manipulasi politik yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat.
Akhirnya, perbahasan mengenai UEC dan pendidikan tahfiz seharusnya bergerak melangkaui sentimen perkauman dan politik kepartian. Pendidikan ialah soal masa hadapan negara.
Negara yang matang bukanlah negara yang menolak kepelbagaian tetapi mampu mengurus kepelbagaian dalam kerangka perpaduan nasional yang kukuh.
Selagi asas Perlembagaan dipelihara, bahasa Melayu dimartabatkan dan kepentingan integrasi nasional dijaga, maka membuka laluan pendidikan kepada UEC dan tahfiz secara terkawal serta bersyarat tidak seharusnya dianggap ancaman. Sebaliknya, ia boleh menjadi jambatan perpaduan yang memperkukuhkan lagi semangat kebersamaan dalam sebuah negara majmuk bernama Malaysia. –UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Unit Pengajian Islam dan Falsafah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM).










