Pemain muda 'dahaga' aksi luar negara

Pemain muda ‘dahaga’ aksi luar negara

Ong Kim Swee
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Datuk Ong Kim Swee merayu agar lebih banyak peruntukan kewangan disalurkan kepada program tersebut bagi memastikan pembangunan pemain muda negara dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan.

Beliau berkata, kekangan sumber kewangan ketika ini menjadi faktor utama yang membantutkan usaha menghantar pemain muda ke kejohanan di peringkat antarabangsa, sekali gus menjejaskan pendedahan mereka terhadap aksi kompetitif di luar negara.

Menurutnya, penyertaan dalam kejohanan antarabangsa merupakan aspek penting dalam proses pembangunan pemain kerana ia memberi peluang kepada mereka menimba pengalaman, meningkatkan tahap permainan serta memahami corak permainan berbeza dari pelbagai negara.

“Itu yang merisaukan saya. Saya cuba merayu untuk mendapatkan sumber yang lebih, lebih-lebih lagi pada dua tiga hari lepas kerajaan telah memaklumkan kepada semua kementerian untuk menjimatkan kos dan ini melibatkan NFDP juga.

“Jadi, ini satu perkara yang perlu kita fikirkan dan sebagai pengarah saya inginkan banyak pendedahan kepada pemain dan juga bukan saja latihan yang bermutu tinggi tetapi perlawanan yang bermutu tinggi untuk memastikan mereka mengadaptasi dengan situasi apabila bermain di peringkat antarabangsa,” katanya.

Februari lalu, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari mengumumkan sebanyak RM18 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan NFDP yang meliputi pengurusan atlet dan jurulatih, pengurusan pusat latihan, pendedahan latihan dan kejohanan, sains dan perubatan serta khidmat sokongan.

Peruntukan itu turut meliputi pelaksanaan program melibatkan seramai 16,221 pelatih dan 792 jurulatih melalui rangkaian 79 Akademi Tunas, 63 Pusat Latihan Daerah, 14 Sekolah Sukan Negeri, satu Akademi Zon serta Akademi Mokhtar Dahari.

Bekas jurulatih kebangsaan itu turut berkata, disebabkan sumber kewangan yang terhad beliau hanya mempertimbangkan untuk menghantar pasukan menyertai kejohanan di luar negara sekiranya penganjur menanggung sebahagian daripada kos penyertaan.

“Kita dapat kejohanan jemputan di mana mereka menanggung segala perbelanjaan kecuali tiket penerbangan, itu kita boleh pertimbangkan.

“Tetapi untuk kita keluar pendedahan seperti mana NFDP lakukan dahulu ke Eropah seperti German, England, kita tak dapat lakukan lagi kerana tidak ada sumber kewangan ataupun bajet untuk mana-mana pasukan dari peringkat 13 hingga 17 tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×