MUTAKHIR timbul polemik berkaitan isu sensitif antaranya institusi raja serta kedudukan Perlembagaan Persekutuan diperdebatkan secara terbuka tanpa disiplin ilmu dan kefahaman sejarah yang tepat.
Fenomena tersebut mencetuskan keresahan dan kekecohan dalam masyarakat sehingga boleh mengundang bibit perpecahan sekiranya asas kenegaraan gagal difahami secara menyeluruh.
Perlu difahami Perlembagaan Persekutuan bukan sekadar dokumen undang-undang, bahkan merupakan kontrak sosial yang membentuk identiti Malaysia sebagai negara berdaulat, aman dan harmoni.
Oleh itu, kewujudan negara yang stabil menuntut kefahaman seluruh rakyat terhadap asas negara supaya keamanan tidak tergadai akibat kejahilan dan sikap melampaui batas.
Islam secara jelas telah memberikan penekanan besar terhadap kepentingan memelihara keamanan serta kestabilan negara.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul dan ulil amri dalam kalangan kamu.” (Surah al-Nisa’: 59)
Ayat tersebut menjadi asas penting terhadap kewajipan menghormati pemerintah, undang-undang dan sistem negara. Ketaatan terhadap peraturan negara merupakan sebahagian tuntutan syarak demi menjaga maslahat umum dan mengelakkan kerosakan lebih besar.
PERKARA 3: ISLAM SEBAGAI AGAMA PERSEKUTUAN
Perkara 3 meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Kedudukan tersebut mencerminkan identiti Malaysia yang berteraskan nilai Islam tanpa menafikan hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing secara aman dan harmoni.
Prinsip toleransi tersebut sejajar semangat Islam yang menganjurkan keamanan dan keharmonian dalam kehidupan masyarakat majmuk.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat: 13)
Ayat tersebut menegaskan manusia dijadikan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya saling mengenali, bukan bermusuhan dan berkonflik. Semangat ta’aruf dan hidup bersama secara damai menjadi asas penting pembentukan negara berbilang kaum.
PERKARA 152: BAHASA MELAYU JIWA BANGSA
Perkara 152 memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kedudukan bahasa bukan sekadar alat komunikasi, bahkan lambang jati diri dan identiti negara.
Sesebuah bangsa yang kehilangan bahasa akhirnya kehilangan akar sejarah dan peradaban. Bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca rantau Nusantara serta bahasa ilmu yang memartabatkan tamadun Melayu Islam sejak ratusan tahun lalu.
Usaha mempertahankan bahasa kebangsaan bukan bermaksud menolak bahasa lain. Sebaliknya, langkah tersebut bertujuan memperkukuh perpaduan nasional agar seluruh rakyat mempunyai satu medium penyatuan yang mampu mengikat identiti negara.
PERKARA 153: KEADILAN SOSIAL DAN KEDUDUKAN ISTIMEWA MELAYU
Perkara 153 berkaitan kedudukan istimewa Melayu dan bumiputera sering disalah tafsir sebagai bentuk diskriminasi kaum. Perlu difahami bahawa peruntukan tersebut diwujudkan bagi menjamin keseimbangan sosial dan keadilan masyarakat selepas era penjajahan.
Walau bagaimanapun, perlembagaan tetap memelihara hak sah kaum-kaum lain seperti yang termaktub secara jelas.
Konsep keadilan menurut Islam tidak semestinya membawa maksud kesamarataan mutlak, sebaliknya meletakkan sesuatu pada tempat yang betul berdasarkan keperluan dan maslahat masyarakat.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat ihsan…” (Surah al-Nahl: 90)
Keadilan sosial menjadi asas penting dalam membina kestabilan negara. Namun, ketidakseimbangan ekonomi dan pengabaian hak sesuatu berpotensi mencetuskan konflik sosial yang merugikan seluruh negara.
PERKARA 38: RAJA BERPERLEMBAGAAN LAMBANG KEDAULATAN NEGARA
Institusi raja-raja Melayu menerusi Perkara 38 menjadi simbol kedaulatan, perpaduan dan kesinambungan sejarah negara. Sistem raja berperlembagaan berjaya memelihara kestabilan politik Malaysia sejak kemerdekaan.
Majlis Raja-Raja mempunyai peranan besar berkaitan agama Islam, adat Melayu serta pelantikan jawatan penting negara.
Tradisi menghormati pemerintah selaras ajaran Islam yang menolak budaya penghinaan, fitnah dan pemberontakan tanpa asas syarie.

SURUHANJAYA REID DAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN LAMBANG PERMUAFAKATAN
Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan Persekutuan sebelum kemerdekaan membuktikan pembentukan negara hasil menerusi perbincangan, toleransi dan permuafakatan pelbagai kaum.
Semangat tersebut wajar dipelihara oleh generasi masa kini dan akan datang. Manakala, retorik kebencian dan sikap melampau hanya merosakkan asas perpaduan yang dibina sejak puluhan tahun.
Perlembagaan Persekutuan sewajarnya difahami sebagai tiang seri negara yang menjamin hak, keamanan, kebebasan dan kesejahteraan rakyat. Kefahaman terhadap asas negara mampu melahirkan masyarakat matang, beradab dan menghormati identiti negara.
Masyarakat dan golongan intelektual perlu menjadi agen pencerahan, bukannya mencetuskan polemik yang boleh meruntuhkan keharmonian negara.
Demikianlah, penghayatan terhadap Perlembagaan Persekutuan menurut perspektif Islam bukan sekadar kewajipan sivik, bahkan amanah moral dan agama demi menjaga kestabilan negara.
Keamanan, perpaduan dan keharmonian merupakan nikmat besar yang wajib dipelihara seluruh rakyat. Kerosakan negara sering bermula apabila asas negara dipandang remeh dan sejarah perjuangan kemerdekaan dilupakan.
Malaysia memerlukan generasi berilmu, beradab dan memahami nilai perlembagaan supaya kedaulatan negara terus terpelihara hingga generasi mendatang. -UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. AZRI BHARI ialah Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) & Pakar Rujuk di Bahagian Zakat Sedekah Wakaf (ZAWAF), Universiti Teknologi Mara (UiTM)
DR. NIK AIRIN AQMAR NIK AZHAR ialah Pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa (IIC), Taman Batu Muda, Kuala Lumpur.










