SEJURUS perasmian Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang dinaik taraf ke tahap antarabangsa, isu mula timbul apabila muncul tuduhan sekumpulan belia bermotosikal menggunakan kawasan perkarangan lapangan terbang tersebut.
Bagaimanapun, pihak berkenaan menafikan dakwaan itu dan menjelaskan kumpulan tersebut hanya hadir untuk meninjau bangunan LTSIP yang baharu siap dibina.
LTSIP sekian lama menjadi tarikan bukan sahaja kepada rakyat Kelantan tetapi mempunyai keistimewaan tersendiri. Ini kerana ia merupakan satu-satunya lapangan terbang yang dijadikan tempat bersantai, bukan sekadar melihat, malah menonton pendaratan dan pelepasan pesawat.
Tetapi, semua itu hanya tinggal kenangan. Apabila LTSIP dinaik taraf menyebabkan kegiatan harian tersebut tidak dapat diteruskan lagi. Pembinaan tembok batu tinggi yang panjang di bahagian strategik tertentu bukan sahaja mengehadkan pemandangan untuk tontonan, malah menyebabkan terhentinya satu kegiatan sosial yang unik dan istimewa di Kelantan.
Barangkali, aktiviti tontonan itu wujud sejak sebelum Perang Dunia Kedua lagi, apabila penerbangan mula diperkenalkan, pada peringkat awalnya bersifat ketenteraan dan kemudiannya berkembang kepada penerbangan komersial.
Sebenarnya, kegiatan sosial yang unik dan istimewa ini bukan sahaja diperhatikan oleh banyak pihak, malah turut dicatatkan berkaitan Kelantan. Antaranya dalam autobiografi Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah berjudul Tentera ke Takhta. Dalam catatan tersebut, baginda menggambarkan keunikan dan keistimewaan itu yang pernah diperhatikan sendiri ketika berkhidmat sebagai pegawai Rejimen Askar Melayu Diraja di Kem Pengkalan Chepa pada 1965.
Ada pihak yang memanggilnya sebagai ‘melepak’, namun, keadaan itu tidak menggambarkan kegiatan sosial di LTSIP. Ini kerana mereka yang berada di luar pagar di tepi jalan utama sebenarnya meluangkan masa dengan tujuan yang jelas, antaranya untuk menonton penerbangan yang berlaku secara kerap mengikut jadual.
Dalam konteks ini, LTSIP merupakan antara lapangan terbang paling sibuk di Pantai Timur Semenanjung.
Bagi sesetengah pihak di Kelantan, kegiatan sosial ini dipanggil sebagai ‘darat’. Ia yang disebut ‘darak’ dalam loghat Melayu Kelantan merujuk pembawaan sifat kekampungan atau dari kawasan pedalaman. Dengan ini, ia dikaitkan dengan kekolotan, ketinggalan zaman dan segala hal yang bersangkutan dengan kemunduran, khususnya pemikiran dan kelakuan.
Sebenarnya kegiatan di LTSIP adalah kegemaran yang dilakukan pada masa senggang secara positif. Antaranya untuk memperoleh kegembiraan dan keseronokan. Dengan kata lain, riadah.
Maka, tidak timbul sama sekali isu melepak yang membuang masa tanpa faedah. Begitu juga dengan fenomena kolot dan ketinggalan zaman kerana ramai sahaja mereka yang moden, memiliki pendidikan tinggi dan tinggal di bandar melakukan aktiviti ini.
Sayang sekali pada masa ini kegiatan sepositif ini tidak dapat diteruskan lagi seperti dahulu. Ini kerana aktiviti menonton kapal terbang dan menikmati pemandangan mempunyai kesan baik terhadap kesihatan minda dan badan.
Bahkan, ia juga merupakan satu kegiatan komunal yang melibatkan ramai pihak yang sama-sama datang ke LTSIP untuk tujuan yang serupa. Dalam konteks sosial, ia menjadi ruang interaksi yang sihat dan baik untuk kesejahteraan masyarakat.
Melalui aktiviti ini, persahabatan bukan sahaja dapat diwujudkan, malah dapat dipupuk. Persahabatan ini turut memberi kesan positif kepada kesihatan fizikal dan mental.
Inilah kehebatan LTSIP. Ia bukan sekadar lapangan terbang tetapi membolehkan rakyat di negeri berkenaan membina jati diri sebagai rakyat Kelantan.
Sehubungan jati diri ini, ia bukan sahaja merupakan ciri unik dan istimewa Kelantan yang menjadi teras serta lambang keperibadian rakyatnya, malah turut mencerminkan kehidupan masyarakat itu sendiri, di samping membentuk kehidupan. Selain itu, ia juga melambangkan keteguhan hati dan kekuatan jiwa rakyat Kelantan.
Kegiatan sosial di LTSIP yang kini sudah menjadi terhad, jika belum terhenti sepenuhnya, mungkin perlu diteliti semula agar dapat dihidupkan dalam bentuk yang berbeza. Sehubungan itu, pelaksanaannya hendaklah tidak sesekali mengganggu kelancaran lalu lintas yang sibuk di LTSIP, di samping memastikan ia tidak menjejaskan keselamatan orang ramai.
Untuk ini, barangkali satu anjung boleh dibina di mana-mana sudut LTSIP yang sesuai. Ia berupa anjung tinjau untuk membolehkan orang ramai terus mengamalkan tradisi Kelantan yang unik lagi istimewa ini.
Perkara ini bukan sekadar tradisi tetapi menjadi warisan, selain terus menjadi kebanggaan rakyat Kelantan.
Dengan kata lain, kegiatan sosial di LTSIP bukan sahaja selama-lamanya menjadi sebahagian penting dalam kehidupan Kelantan tetapi juga mempunyai makna yang unik dan istimewa bagi negeri berkenaan.
Hakikatnya, ia masih penting kepada rakyat Kelantan, justeru wajar diteruskan. Ini kerana ia merupakan warisan Kelantan yang mempunyai nilai sosiobudaya yang tinggi. Dalam hal ini, ia adalah amalan lama yang terus hidup dan kekal malar.
Sehubungan itu, LTSIP melalui kegiatan sosial bersantai, khususnya aktiviti menonton penerbangan, merupakan warisan budaya penting dalam sejarah moden Kelantan.

KEMBALIKAN SEMULA KEGIATAN SOSIAL
Oleh itu, semua pihak yang terbabit dalam isu LTSIP tempoh hari hendaklah bersatu dan berusaha mengembalikan kegiatan sosial yang begitu ikonik bagi Kelantan.
Sehubungan keperibadian ini, ia merupakan tingkah laku kolektif rakyat Kelantan yang dikongsi serta dipamerkan sebagai kebanggaan bersama. Dengan itu, ia bukan sahaja menjadi amalan budaya Kelantan yang perlu diteruskan sebagai jati diri negeri, malah turut menjadi aspirasi yang harus terus didukung oleh rakyat Kelantan.
Oleh itu, seluruh kepimpinan Kelantan hendaklah bersepakat untuk kebaikan negeri ekoran isu yang timbul itu. Antaranya mengembalikan kegiatan sosial di LTSIP yang penting dalam melestarikan jati diri Kelantan.
Riadah di LTSIP merupakan tradisi, warisan dan nilai rakyat Kelantan. Ini adalah cara hidup mereka.
Riadah ini juga merupakan sentimen rakyat Kelantan terhadap negeri kesayangan mereka. Di samping itu, ia menjadi ciri yang mengikat rakyat kepada budaya yang unik dan istimewa, yang hanya terdapat di Kelantan, serta amat dihargai dan dihayati oleh mereka.
Dengan ini, riadah di LTSIP tidak boleh terus terhenti untuk selama- lamanya. Sebaliknya hendak dihidupkan semula sesegera yang boleh, dengan cara yang lebih tersusun sebagai identiti negeri dan identiti budaya bagi rakyat Kelantan.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










