ISU kemasukan pelajar daripada aliran luar Sistem Pendidikan Kebangsaan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kembali menjadi polemik hangat dalam kalangan masyarakat Malaysia hari ini.
Ada pihak yang mendakwa langkah kerajaan membuka ruang kepada lepasan institusi tertentu seperti Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) atau tahfiz merupakan satu bentuk pencabulan terhadap Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah kerajaan sedang mengiktiraf sistem pendidikan yang berada di luar arus perdana negara.
Namun, hakikat sebenar jauh berbeza daripada persepsi yang cuba dibina. Polemik ini wajar dilihat secara rasional, objektif dan berasaskan fakta, bukannya dipengaruhi sentimen politik atau prejudis sempit terhadap kepelbagaian sistem pendidikan yang wujud dalam negara.
Menurut kenyataan media Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pada 17 Mei lalu, kerajaan mengambil pendekatan yang seimbang, inklusif dan bertanggungjawab dalam memperluaskan akses pendidikan tinggi tanpa mengorbankan asas DPK serta FPK.
Pendekatan ini bukanlah sesuatu yang dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya melalui penelitian mendalam, perbincangan dan libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk universiti awam dan agensi berkaitan.
UEC UNTUK BAHASA, SASTERA CINA
Keputusan membenarkan calon UEC memohon ke IPTA hanya melibatkan bidang bahasa dan kesusasteraan Cina. Ia bukan membawa maksud kerajaan mengiktiraf keseluruhan sistem persekolahan UEC.
Ini membuktikan kerajaan tidak membuka ruang secara bebas tanpa kawalan. Sebaliknya, setiap keputusan dibuat berdasarkan kesesuaian akademik, keperluan tenaga mahir negara serta standard profesional program pengajian.
Penelitian lanjut juga akan terus dilakukan bagi memastikan sebarang perluasan akses pada masa hadapan benar-benar memenuhi keperluan semasa negara dan tidak menjejaskan standard pendidikan tinggi negara.
Dalam masa sama, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut memberi jaminan sistem meritokrasi kekal menjadi asas utama pemilihan kemasukan ke IPTA.
Semua permohonan akan diproses berdasarkan kelayakan akademik, syarat program dan keputusan senat universiti. Malah, sesetengah program turut mengenakan temu duga, ujian khas atau penilaian tambahan bagi memastikan hanya calon benar-benar layak diterima masuk.
Oleh itu, dakwaan kononnya standard akademik universiti awam akan merosot adalah tidak berasas sama sekali. Universiti awam tetap mempunyai autonomi akademik dan kuasa menentukan standard kemasukan masing-masing. Kualiti graduan serta integriti sistem pendidikan tinggi negara tetap menjadi keutamaan.
Pada masa sama, kebimbangan sesetengah pihak bahawa peluang pelajar aliran perdana seperti Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan matrikulasi akan terjejas juga perlu diperbetulkan.
KPT menegaskan STPM dan matrikulasi kekal sebagai laluan utama ke universiti awam. Pelaksanaan dasar baharu ini tidak menjejaskan unjuran pengambilan sedia ada, malah kapasiti pengambilan pelajar masih tertakluk kepada kemampuan universiti, kemudahan pembelajaran dan tenaga pengajar.
Hakikatnya, permohonan ke IPTA setiap tahun terus meningkat dan pengurusan kapasiti dilakukan secara sistematik oleh Jabatan Pendidikan Tinggi. Maka, isu lambakan pelajar seperti yang dibimbangkan sesetengah pihak sebenarnya tidak timbul buat masa ini.
Apa yang lebih penting ialah keberanian kerajaan melihat pendidikan tinggi daripada perspektif yang lebih luas dan pragmatik. Dalam dunia global yang semakin kompetitif, negara memerlukan pendekatan pendidikan yang lebih anjal tanpa mengorbankan identiti nasional.
WAJIB ADA SPM
Syarat asas berkaitan identiti nasional tetap dipertahankan tanpa kompromi. Semua calon daripada aliran luar Sistem Pendidikan Kebangsaan diwajibkan memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan sekurang-kurangnya kepujian dalam bahasa Melayu dan lulus subjek Sejarah.
Ketetapan ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak sesekali mengetepikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta peranan Sejarah dalam membentuk jati diri dan semangat kenegaraan.
Dalam konteks ini, kerajaan sebenarnya sedang mengimbangi dua keperluan utama negara mempertahankan asas nasional pendidikan dan pada masa sama memastikan akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif kepada pelajar berkelayakan.
Pendekatan ini sejajar dengan realiti masyarakat majmuk Malaysia yang mempunyai pelbagai aliran pendidikan sejak sekian lama. Langkah tersebut tidak hanya melibatkan lepasan UEC atau Sijil Menengah Persendirian Cina (SMPC), tetapi turut merangkumi lepasan institusi tahfiz dan beberapa institusi lain di luar Sistem Pendidikan Kebangsaan.
Kesemua mereka tetap tertakluk kepada syarat am universiti, pengesahan institusi asal serta syarat khas yang ditetapkan oleh senat universiti masing-masing.

JANGAN POLITIKKAN PENDIDIKAN
Pendidikan tidak seharusnya menjadi medan politik sempit, sebaliknya perlu dilihat sebagai instrumen pembangunan modal insan negara.
Pendekatan inklusif ini juga selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai keterangkuman, keseimbangan dan keadilan sosial.
Memberi peluang kepada pelajar berkelayakan daripada pelbagai latar belakang bukan bermaksud menggadaikan prinsip negara tetapi memperkukuhkan lagi ekosistem pendidikan tinggi yang lebih dinamik dan berdaya saing.
Sebagai universiti awam, cabaran terbesar dalam melaksanakan dasar ini ialah memastikan keseimbangan antara akses pendidikan, kapasiti institusi dan pengekalan standard akademik.
Namun, universiti awam diyakini mempunyai pengalaman, kepakaran dan mekanisme yang mencukupi untuk melaksanakan dasar ini secara profesional, telus dan berintegriti.
Akhirnya, masyarakat perlu melihat isu ini dengan lebih matang dan berpandangan jauh. Pendidikan adalah jambatan penyatuan dan pembangunan negara.
Selagi prinsip asas DPK dipertahankan, bahasa Melayu dimartabatkan dan nilai kenegaraan terus dipelihara, maka usaha memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada rakyat yang layak wajar dilihat sebagai satu langkah progresif demi masa hadapan negara.
PROFESOR Datuk Dr. Arham Abdullah ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK).










