Jangan abai kesihatan seksual hanya disebabkan malu

Jangan abai kesihatan seksual hanya disebabkan malu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESIHATAN seksual dipandang sensitif untuk dibincangkan oleh ramai wanita kerana rasa malu. 

Hakikatnya, kesihatan seksual adalah penting untuk kesejahteraan hidup manusia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan bukan sekadar bermaksud bebas daripada penyakit atau jangkitan tetapi merangkumi kesejahteraan fizikal, emosi, mental dan sosial.

Bagi wanita, memahami realiti jangkitan seksual (STI) adalah penting untuk melindungi diri dan keluarga. Ia adalah satu tanggungjawab besar kerana jangkitan ini sudah tidak mengenal usia. 

Anak pada usia awal remaja juga boleh menjadi mangsa jangkitan apabila terlibat dengan hubungan seksual. Anak-anak perlulah diberikan ilmu dan didikan. Isu sensitif ini pada realitinya akan lebih mudah disampaikan oleh seorang wanita kepada anak-anak perempuan atau lelaki.

 

JANGAN ABAI ISYARAT TUBUH

Antara cabaran dalam mengendalikan kesihatan seksual adalah sifat jangkitan itu sendiri. Ada individu yang dijangkiti tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala, menyebabkan kuman mudah merebak kepada pasangan mereka tanpa disedari.

Namun begitu, jika tubuh mula memberikan isyarat, jangan sesekali mengabaikannya.

Antara gejala biasa yang perlu diperhatikan termasuklah : 

  • Luka, bintil atau kutil seperti emunculan kudis, lepuhan, atau kutil di sekitar kawasan kemaluan mahupun dubur.
  • Lelehan luar biasa seperti cecair faraj yang pekat, berbau kurang menyenangkan atau berubah warna daripada kebiasaan.
  • Sakit semasa kencing iaitu rasa pedih atau seperti terbakar yang menyakitkan ketika membuang air kecil.
  • Sakit pelvik iaitu rasa tidak selesa atau sakit yang kerap dirasai di bahagian bawah perut, terutamanya ketika melakukan hubungan intim.
  • Kegatalan melampau seperti rasa gatal yang tidak tertanggung di kawasan intim.
  • Pendarahan tidak normal seperti seperti berlaku pendarahan di antara tempoh haid atau sejurus selepas hubungan seks.

Jika mempunyai tanda-tanda ini, pemeriksaan klinikal adalah satu-satunya jalan untuk mendapatkan kepastian. Ketepikan rasa segan dan segera ke klinik kesihatan kerajaan mahupun swasta untuk berbincang dengan doktor.

 

KUMAN DI SEBALIK JANGKITAN

Jangkitan seksual ini berpunca daripada pelbagai jenis mikrorganisma yang merebak melalui pertemuan kulit ke kulit atau cecair badan yang mengandungi kuman semasa hubungan seksual:

  •  Bakteria seperti Sifilis, Klamidia dan Gonorea.
  •  Virus seperti Herpes (HSV), Human Papillomavirus (HPV) dan HIV.
  • Parasit seperti Trichomoniasis yang memerlukan rawatan khusus.

Jangkitan bakteria adalah yang paling kerap berlaku dan boleh dirawat dengan antibiotik. Namun, jangkitan virus biasanya bersifat kronik dan sukar dibasmi. Sehingga kini, kita masih belum mempunyai ubat antivirus spesifik yang boleh membunuh virus HIV, yang mana jika melarat akan melemahkan sistem imun dan menyebabkan penyakit AIDS yang membunuh. 

Virus HPV pula berkait rapat dengan kanser seperti kanser pangkal rahim. Apabila hubungan seksual berlaku, seseorang boleh mendapat sebarang jenis jangkitan dari pasangan mereka yang telah dijangkiti  kuman.

 

RAHSIA KESEMBUHAN DARI JANGKITAN

Satu perkara yang perlu masyarakat fahami adalah rawatan STI tidak semudah merawat demam biasa. Selain pematuhan pada ubat, pasangan seksual juga wajib dirawat serentak, dan hubungan seksual perlu dihentikan sepenuhnya sehinggalah disahkan sembuh dari jangkitan. Ini memastikan rawatan adalah sempurna dan tidak berulang.

Kegagalan mengawal diri semasa tempoh rawatan bukan sahaja memanjangkan tempoh jangkitan, malah boleh menyebabkan kuman menjadi rintang (kebal) terhadap ubat-ubatan, sekali gus membuatkan penyakit menjadi melarat dan sukar dikawal. 

Namun, ramai yang mendapat rawatan sebelum ini dan sihat kembali apabila mereka mengawal diri dan mengikuti nasihat doktor.

 

MENCEGAH LEBIH BAIK DARIPADA MENANGGUNG KOMPLIKASI

Hubungan seksual yang tidak mengikut norma, seperti amalan bertukar-tukar pasangan atau hubungan bebas sebenarnya berkait rapat dengan masalah tingkah laku dan ‘ketagihan’.  Jika tidak dibendung, wanita adalah golongan yang amat berisiko menanggung komplikasi jangka masa panjang yang menyeksakan seperti sakit bawah perut yang kronik, kesukaran mendapat zuriat (kemandulan), malah kanser. 

Walau bagaimanapun, ada wanita yang berani melakukan hubungan seksual, walau baru berkenalan dengan pasangan, contohnya dengan kenalan media sosial.

 

HIKMAH SYARIAT

Dalam acuan syariat Islam, tuntutan menjaga kesihatan seksual ini berkait rapat dengan prinsip maqasid syariah demi memelihara keturunan (Hifz an-Nasl) dan jiwa (Hifz an-Nafs). Islam memandang institusi perkahwinan sebagai benteng suci yang bukan sahaja menghalalkan hubungan antara lelaki dan wanita, malah menyekat amalan bertukar-tukar pasangan mahupun hubungan songsang (homoseksual). Hubungan seperti ini terbukti secara saintifik menjadi punca utama penularan virus HIV yang bahaya.

Oleh itu, melakukan saringan kesihatan bukanlah sesuatu yang memalukan, sebaliknya ikhtiar dan amanah yang wajib ditunaikan demi menjaga kesucian diri dan keluarga.

Pastinya agama lain juga mengajarkan pengikutnya untuk melindungi diri daripada penyakit, seperti yang diajarkan oleh Islam.

Pencegahan melalui pendidikan adalah salah satu usaha murni kumpulan ini untuk masyarakat dan generasi masa hadapan. -UTUSAN

 

PROFESOR  Madya Dr. Fathima Begum Syed Mohideen  ialah Pensyarah Perubatan & Pakar Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)  dan ahli kumpulan Penyelidikan Identiti Jantina melalui Pengukuhan Fitrah (MyGIFT).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN