BAIK diterima dek muafakat, buruk ditolak dek rundingan. Demikianlah sebahagian daripada bait-bait dalam kata-kata adat yang menggambarkan betapa luhur dan tertibnya tatacara kehidupan bermasyarakat digariskan dalam Adat Perpatih di Negeri Sembilan.
Malangnya, ramai yang tidak faham peranan penting dan keistimewaan Adat Perpatih yang selama ini menjadi tunjang masyarakat di Negeri Sembilan, bermula dari kejelataan rakyat sehinggalah ke tampuk pemerintahannya.
Namun, keadaannya kini berbeza. Perkembangan semasa mutakhir ini memperlihatkan Adat Perpatih secara tiba-tiba menjadi topik hangat yang mendapat perhatian besar dalam kalangan masyarakat di serata tanah air kita.
Seperti biasa juga, setiap kali munculnya sesuatu isu panas, akan muncullah pakar-pakar segera. Maka berlumba-lumbalah mereka melontarkan pelbagai kenyataan tentang perkara yang hakikatnya tidak mereka fahami, khasnya di media sosial.
Hal ini mendorong pengikut mereka yang selama ini tidak pernah ambil tahu tentang Adat Perpatih pun tidak mahu ketinggalan untuk bercakap mengenainya, biarpun pengetahuan mereka tentang adat yang berasal dari alam Minangkabau ini tidak sampai sejengkal.
Justeru, timbullah pelbagai persepsi dan tanggapan dangkal tentang Adat Perpatih yang semakin lama semakin mengelirukan masyarakat. Seperti pengembara yang sedang sesat dijadikan ketua bagi membimbing perjalanan orang lain. Akhirnya, semakin ramai yang turut sesat dan tidak dapat menemui jalan keluar.
Akibat kecetekan ilmu tentang hal ini, ramai yang memperkecilkan dan meremehkan peranan Adat Perpatih. Tidak kurang juga mereka yang merasakan adat ini hanyalah sebahagian daripada warisan dan hukum-hakam lama tanpa kerelevanan masa kini untuk diberi tempat dalam kehidupan maju pada zaman moden.
Amat malang sekali apabila aturan adat, nilai dan prinsip-prinsip yang selama ini menjadi paksi pembinaan jati diri bangsa, kini dianggap menyusahkan dan tidak lagi relevan oleh masyarakat sendiri.
Bagi mereka ini, untuk bergerak maju, seseorang itu mestilah terlebih dahulu membebaskan diri daripada dibelenggu adat dan nilai lampau yang mereka anggap bukan sahaja akan merencatkan kemajuan tetapi juga boleh menyekat kejayaan.
Walhal persepsi dangkal seperti inilah yang akan menghancurkan kita kerana tanpa berpasak teguh ke bumi, kita akan hilang pegangan. Hidup yang berpaksikan kejayaan material semata-mata akan mengakibatkan kita lalai dan hilang arah tujuan hidup yang sebenarnya.
Hal ini ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau mengingatkan dalam keghairahan untuk menggapai ke langit, kita harus juga mengakar ke bumi.
Dalam kesibukan mengejar kemajuan, tidak boleh lupakan asal usul. Usah menjadi seperti ulat melupakan daun atau seperti kacang melupakan kulit. Oleh sebab inilah amat penting untuk sentiasa mendalami dan menghayati perjalanan tamadun alam Melayu sejak zaman berzaman.
Sebagai contoh, hari ini ramai yang masih mendakwa Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan Westminster secara total kerana mengikut gaya British akibat pengaruh mereka dalam pembentukan negara kita. Walhal, sistem yang diamalkan kini mempunyai akarnya juga daripada amalan pentadbiran Bendahara yang berfungsi serupa dengan Perdana Menteri.
Ramai yang merasakan negeri-negeri Melayu sebelum kedatangan British atau pembentukan persekutuan merupakan negeri yang diperintah raja berkuasa mutlak. Walhal, ramai tidak sedar pada zaman dahulu juga sudah terdapat sistem semak dan imbang yang membenarkan menteri membatalkan tanda tangan Sultan. Perkara ini pernah berlaku dalam sejarah seperti di Terengganu, namun ramai yang tidak cakna.
Amat mengecewakan sekali apabila kekhilafan tentang hal ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan rakyat biasa tetapi turut melibatkan pemimpin politik dan penggubal undang-undang.
Lebih parah lagi, kesalahfahaman ini tetap berlaku sehingga hari ini sedangkan pakar-pakar Perlembagaan sudah berkali-kali menjelaskan secara teknikalnya sistem pentadbiran yang kita amalkan berbeza daripada sistem Westminster.
Inilah masalahnya apabila kita sudah liar berkeliaran di langit tanpa berpasak di bumi. Kita melaungkan kesetiaan kepada negara namun ironinya gagal menghayati perjalanan panjang sejarah yang membentuk sistem pemerintahan negara sendiri.
Tamadun Melayu mempunyai sistem ketatanegaraannya yang komprehensif dan tersendiri sejak dahulu lagi. Malah, lama sebelum kedatangan British kita sudah mempunyai sistem undang-undang yang baik dan tersusun.
Malah, sistem politik dari Barat termasuk amalan demokrasi yang dianggap moden dan adil itu pun bukanlah sempurna dan masih terbuka kepada pelbagai percaturan politik licik.
Contoh paling mudah ialah langkah-langkah politik selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Di manakah keadilan sistem demokrasi apabila wakil rakyat boleh bertukar-tukar parti sesuka hati pada ketika itu? Bukankah akhirnya institusi diraja temurun kita yang akhirnya menyelamatkan negara daripada huru-hara?

KONONNYA ATAS ALASAN HAK KEBEBASAN
Kita juga berhadapan sikap biadab dan melampau sesetengah pihak yang berbuat sesuka hati kononnya atas nama hak kebebasan sedangkan perbuatan mereka melanggar undang-undang negara.
Apabila tidak menghormati dan melupakan adat, kita akan berhadapan kebiadaban dan pelbagai masalah moral dan disiplin atas nama kebebasan dan kemajuan yang akan membawa kepada masalah besar dalam masyarakat.
Adakah ini kemajuan yang kita idamkan? Adakah kebebalan dan kebiadaban atas nama hak kebebasan itu sesuatu yang membanggakan kita?
Kita harus sedar pada akhirnya kebijaksanaan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong yang menyelamatkan nasib rakyat ketika para pemimpin sibuk berebut kuasa. Maka, usaha mana-mana pihak untuk memperkecilkan adat tempatan amatlah tidak berasas.
Yang lama jangan dibuang walaupun kita sudah ada yang baharu. Tanpanya pasak, manakan rumah berteguh. Tanpanya adat, manakan manusia menjaguh.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











