PETALING JAYA: Skuad Bawah-19(B-19) negara wajib berada dalam kelompok empat terbaik menjelang Kejuaraan B-19 ASEAN 2026 di Medan, Indonesia, awal Jun ini.
Bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan menegaskan skuad kendalian Nafuzi Zain tidak boleh lagi sekadar beraksi sebagai pelengkap jadual, sebaliknya perlu menetapkan sasaran minimum ke kelompok empat terbaik.
Katanya, berdasarkan perkembangan semasa dan landskap bola sepak remaja Asia Tenggara, Malaysia perlu berani meletakkan piawaian lebih tinggi jika mahu terus kekal kompetitif di peringkat serantau.
“Sekurang-kurangnya kita mesti berada dalam kelompok empat terbaik. Dari situ kita tahu di mana kedudukan sebenar kita. Kalau tidak, kita akan ketinggalan.
“Kalau kita bercakap soal pembangunan, kita kena ada kesinambungan dari B-17 ke B-19. Pemain berpotensi tidak boleh dibiarkan terputus di tengah jalan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Wan Jamak turut menekankan kepentingan proses pemilihan pemain yang lebih teliti oleh barisan kejurulatihan B-19 negara, termasuk pengendali Nafuzi Zain, dengan memberi ruang kepada pemain B-17 yang menyerlah untuk diserap lebih awal.
“Kalau ada pemain B-17 yang benar-benar menonjol, jangan tunggu. Serapkan segera. Mereka ini aset dua tahun ke depan,” katanya.
Hasil undian kelmarin menyaksikan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Thailand, Singapura dan Brunei, sekali gus menjadikan Thailand sebagai pencabar utama kumpulan tersebut.
Pada edisi 2024 yang berlangsung di Indonesia, skuad B-19 negara menamatkan kempen di tangga keempat selepas tewas 3-5 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Australia, susulan keputusan seri 1-1 dalam aksi penentuan tempat ketiga.
Sebagai rekod, Malaysia pernah menjulang kejuaraan sebanyak dua kali, iaitu pada edisi 2018 dan 2022 yang masing-masing turut diadakan di Indonesia.
Sementara itu, tuan rumah, Indonesia diundi dalam Kumpulan A bersama Vietnam yang merupakan juara edisi 2017, Timor-Leste serta Myanmar yang pernah bergelar juara sebanyak dua kali.
Bagi Kumpulan C pula, ia dihuni juara lima kali, Australia yang turut bersaing bersama Kemboja dan Filipina dalam perebutan tempat ke pusingan seterusnya. – UTUSAN











