MIAMI: Pelumba Formula Satu (F1) Itali, Kimi Antonelli tekad memburu hatrik kemenangan awal musim menjelang aksi Grand Prix (GP) Miami hujung minggu ini.
Selepas sebulan kalendar F1 terhenti, pemandu Mercedes-AMG Petronas itu kembali dengan misi besar untuk mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan termuda dalam sejarah sukan berprestij tersebut.
Antonelli yang mencipta sensasi dengan kemenangan di China dan Jepun kini mendahului rakan sepasukan, George Russell, dengan kelebihan sembilan mata selepas empat pusingan pembukaan musim.
Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff, menegaskan tempoh rehat dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperbaiki kelemahan dan memperkukuh prestasi jentera.
“Permulaan kami baik, tetapi dalam F1 anda tidak boleh selesa. Semua pasukan akan kembali lebih kuat dan Miami pasti lebih sengit,” katanya.
Kebangkitan Antonelli turut mengimbau pencapaian legenda Itali, Alberto Ascari, yang kali terakhir memenangi dua perlumbaan berturut-turut pada 1953 sebelum melengkapkan hatrik musim tersebut.
Sementara itu, perubahan peraturan teknikal yang diperkenalkan di Miami dijangka menambah elemen dramatik, termasuk pengurangan pengecasan bateri ketika sesi kelayakan serta pelarasan kuasa bagi mengurangkan jurang kelajuan.
Dalam pada itu, McLaren dan Ferrari dilihat sebagai pencabar utama selepas masing-masing membawa naik taraf besar. – AGENSI/UTUSAN










