PETALING JAYA: Cabaran keadaan angin di Stadium Nimibutr tidak sesekali dijadikan alasan oleh beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani apabila mereka kekal tenang untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Thailand selepas menewaskan gandingan China, Huang Di-Liu Yang 21-14, 24-22 di Bangkok, semalam.
Pasangan ranking kesembilan dunia itu bermula kemas pada set pertama sebelum berdepan tentangan lebih sengit pada set kedua, namun tetap mengekalkan fokus untuk menoktahkan kemenangan dalam tempoh 46 minit.
Pada aksi suku akhir hari ini, Sze Fei-Izzuddin dijadual bertemu beregu Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley yang turut mara selepas menyingkirkan beregu profesional negara, Chia Wei Jie-Teo Ee Yi 26-24, 21-10.
Mengulas perlawanan itu, Izzuddin menegaskan keadaan angin di gelanggang yang agak mencabar tidak boleh dijadikan faktor atau alasan walaupun sedikit mempengaruhi rentak permainan.
“Mengenai keadaan angin di gelanggang, saya rasa memang agak sukar untuk dikawal tetapi itu bukan alasan untuk kami,” kata Izzuddin.
Selain itu beliau mendedahkan mereka berdepan tekanan terutama pada penghujung set kedua apabila lawan meningkatkan intensiti permainan.
“Saya rasa kami bermain agak baik hari ini dan pihak lawan juga bermain dengan sangat baik. Jadi kami hanya fokus kepada permainan sendiri hari ini. Kami rasa baik dengan prestasi dan momentum kami ketika ini,” katanya.
Malah, beliau mengakui berlaku sedikit kehilangan fokus dalam perlawanan, namun cepat kembali mengawal keadaan untuk memastikan kemenangan tidak terlepas.
“Ya, kami hilang sedikit fokus tetapi kami gembira kerana berjaya bangkit semula pada penghujung permainan kedua,” ujarnya.
Untuk rekod, beregu profesional itu sudah pun meraih satu gelaran musim ini menerusi Indonesia Masters pada Januari dan berpeluang untuk merangkul di Thailand kali ini. – UTUSAN










