HARI ini merupakan hari keempat saya berada di bumi Taiwan bagi menghadiri Persidangan Wikimedia ESEAP 2026, yang berlangsung di Kaohsiung dari 15 hingga 17 Mei 2026.
Persidangan ini menghimpunkan penggerak Wikimedia di rantau Asia Timur, Tenggara dan Pasifik (disebut sebagai ESEAP) bagi memupuk perkongsian, sokongan serta kerjasama antara masyarakat serantau.
Buat kali pertama dalam sejarah persidangan ini, belia diberi ruang untuk mengadakan aliran khas sepanjang hari kedua persidangan.
Pencapaian besar itu bermula daripada perbincangan saya bersama para perwakilan dari rantau ini yang menghadiri Persidangan Belia Wikimedia di Prague, Republik Czech, tahun lalu.
Pengalaman berharga di Prague mendorong kami berusaha memulakan gerakan belia di rantau ini. Dari situlah, saya bersama-sama Chlod dari Filipina, Curtis (Hong Kong), Asmah (Malaysia) serta rakan-rakan belia lain mula merangka kumpulan belia rantau ESEAP.
Hasil usaha keras ini, kami diberi kepercayaan penuh oleh pihak penganjur untuk mengemudi sebuah subpersidangan belia yang berlangsung sepanjang hari ini.
Matlamat kami bukan untuk berseronok atau menuntut hak belia semata-mata. Sebaliknya, ia satu proses latihan dan pembangunan kapasiti bagi memperkasakan golongan belia dalam gerak kerja menyebarluaskan pengetahuan.
Tanggungjawab ini berat, memandangkan semester pengajian kami sedang berjalan. Namun dengan tekad yang kuat, kami mencari waktu di sebalik kesibukan menyempurnakan tugas utama sebagai mahasiswa bertanggungjawab.
Cabarannya lebih besar memandangkan kami harus berinteraksi dan bekerjasama rentas negara bagi menjayakan satu misi yang besar.
Di sinilah dapat kami belajar menerusi pengalaman bekerja dalam dunia sebenar, bukannya melalui bengkel, kelas atau syarahan semata-mata. Kami tidak dinilai melalui peperiksaan tetapi sebaliknya melalui dampak yang dapat kami lakukan dalam gerak kerja sebenar.
BINA INSAN
Bagi saya pengalaman ini sangat relevan dengan apa yang disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada majlis Musyawarah Nasional di Kuala Lumpur, Ahad lalu. Menurut beliau, pendidikan tidak boleh memberatkan peperiksaan sahaja tetapi kita perlu kembalikan roh asal iaitu untuk membina insan.
Sudah tiba masanya kita melangkah ke depan dan meninggalkan mentaliti lama yang hanya mengejar angka, gred dan penarafan semata-mata. Untuk membina insan, pembangunan kokurikulum di universiti mesti menyasarkan keterlibatan pelajar secara praktikal dalam usaha menangani masalah dalam masyarakat.
Malahan di persada antarabangsa, apabila berbincang tentang pendidikan tinggi, kita tidak lagi mengecilkan skopnya hanya kepada pendidikan dalam dewan kuliah dan kegiatan dalam kampus semata-mata. Sebaliknya, melihat pedagogi berpandukan tindakan, satu konsep yang bertujuan menggabungkan konsep pembangunan pelajar dengan kegiatan akademik agar bergerak seiring.
Berbanding cara konvensional yang mengasingkan kegiatan pelajar di dalam dan di luar kurikulum, konsep ini melihat pendidikan sebagai satu ekosistem yang bergabung.
Hal ini boleh dilakukan dengan pelbagai cara, daripada melibatkan pelajar dalam proses pengajaran itu sendiri, hinggalah mencipta laluan-laluan khusus yang berbeza-beza untuk menyesuaikan persekitaran bagi tujuan pembangunan pelajar.
Inilah juga yang disebutkan oleh Profesor Emeritus Asma Ismail semasa Kongres Pendidikan Bumiputera baru-baru ini, berkenaan keperluan kita untuk satu sistem pendidikan yang adaptif, bukan berlandaskan konsep satu ukuran untuk semua.
Sebagai contoh, bukan semua pelajar sesuai belajar dalam suasana akademik sepenuhnya. Pada masa sama, ada pelajar lain yang boleh mempelajari banyak perkara berkaitan pengajian mereka melalui kegiatan mereka di luar dewan kuliah.
Sekiranya ekosistem pendidikan kita lebih adaptif dan turut mempunyai cara menilai pemahaman dan pengetahuan pelajar melalui kegiatan luar, maka bukan sahaja boleh mengurangkan beban akademik pelajar tetapi juga boleh memberikan mutu pendidikan yang lebih tinggi melalui pendedahan kepada dunia sebenar.
Namun ada pihak yang masih terkekang dengan tanggapan lapuk kegiatan luar kurikulum wajib terpisah sepenuhnya daripada bidang akademik. Sedangkan, kedua-dua bidang ini harus digabungkan dalam satu ekosistem pendidikan yang bersepadu.
Saya bertuah kerana di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), setiap mahasiswa melalui kursus wajib Usrah in Action dilatih untuk merancang dan melaksanakan projek libat urus masyarakat.
Di samping itu, saya dapat meneroka lebih banyak pengalaman menerusi usaha pendidikan untuk pembangunan mampan di bawah kelolaan Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU) sehingga dilantik sebagai Penyelaras Belia Serantau Asia Pasifik.
Melalui kegiatan saya di UIAM, UNU dan Wikimedia, saya menimba pengalaman menghadiri persidangan di dalam dan luar negara, termasuk dijemput untuk membuat pembentangan, menjadi ahli panel dan juga memudah cara perbincangan di sana.
Pada tahun lalu saya berpeluang membentang dasar pendidikan universiti bagi pihak UIAM di sebuah persidangan pendidikan antarabangsa di Colombia. Ini bukan lagi sekadar satu kegiatan pelajar tetapi juga sebahagian daripada perjalanan pengajian.
Bermula semester lalu pula, saya turut mengajar sebuah kursus di UIAM melibatkan pelajar yang sebaya dan lebih senior.
Apabila institusi pendidikan menyepadukan aktiviti luar dengan pembelajaran di bilik kuliah, setiap kegiatan yang dilaksanakan akan menjadi lebih terarah dalam memberi pengalaman serta pengetahuan baharu bagi memperkukuh apa yang dipelajari selama ini.
Sebaliknya, jika kegiatan pelajar tidak disepadukan dalam ekosistem pendidikan, maka ia membuka ruang kepada kegiatan luar yang tidak selari dengan pelajaran, kurang manfaatnya serta menjauhkan kita daripada tanggungjawab sebagai manusia.
Akhirnya, kita akan menghabiskan sebahagian zaman mahasiswa dengan melakukan kegiatan suka-suka sahaja, tanpa nilai tambahan.
Untuk terus maju, kita perlu mengubah cara berfikir yang terlalu terikat dengan pendekatan konvensional serta berani melakukan perubahan. Jika kita terus kekal dengan pemikiran lama tanpa memandang ke hadapan, bagaimana mungkin kita mampu mendahului langkah dan bersaing dengan dunia? –UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).









