PETALING JAYA: Ketahanan fizikal dan tahap daya tahan otot pemain masih menjadi masalah utama yang perlu diperbaiki skuad sepak takraw negara menjelang aksi Piala Dunia 2026, meskipun prestasi keseluruhan pasukan dilihat berada pada tahap baik.
Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun berkata, penilaian selepas Piala Emas Khir Johari dan Kejohanan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) baru-baru ini menunjukkan terdapat beberapa aspek kecergasan yang memerlukan penekanan segera, khususnya apabila pasukan kembali menjalani sesi latihan penuh.
“Secara keseluruhannya prestasi pemain agak baik, namun ada elemen yang perlu diberi perhatian terutama dari segi endurance dan daya tahan otot.
“Ini penting untuk memastikan prestasi lebih konsisten di peringkat antarabangsa yang berintensiti tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, aspek kecergasan tersebut akan menjadi fokus utama dalam fasa persiapan akhir skuad negara menjelang Piala Dunia, yang dijangka berlangsung pada Mei ini.
Tambah beliau, walaupun skuad negara membawa momentum positif selepas bergelar juara Sukan SEA 2025 bagi acara regu dan berpasukan, ia tidak boleh dijadikan jaminan untuk kejayaan di pentas Piala Dunia yang jauh lebih mencabar.
“Walaupun kita juara Sukan SEA, itu bukan tiket mudah untuk kita ulangi kejayaan di Piala Dunia. Semua pasukan akan turun dengan tahap persediaan yang lebih tinggi,” jelasnya.
Beliau turut mengakui acara quadrant menjadi antara cabaran terbesar apabila undian meletakkan Malaysia dalam kumpulan yang kuat dan kompetitif, sekali gus memerlukan peningkatan ketara dari segi prestasi dan disiplin permainan.
“Kita percaya pemain akan kekal konsisten dan berdisiplin. Harapan semua pihak adalah untuk melihat keputusan positif di Piala Dunia nanti,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan skuad negara kini dalam peringkat akhir perancangan untuk mengadakan perlawanan ujian menentang pasukan Navy Thai atau Skykick sebagai persediaan akhir.
Untuk rekod, skuad negara bakal menghadapi cabaran sengit dalam acara berpasukan apabila diundi bersama dua kuasa meningkat naik, India dan Myanmar dalam Kumpulan B.
Dalam acara regu, Malaysia bakal mengharungi cabaran Kumpulan A bersama Jepun dan Singapura, manakala bagi acara kuadran, skuad negara diundi ke Kumpulan C bersama India, Singapura dan Korea Selatan. – UTUSAN










