PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) sudah mula mengatur langkah awal bagi menghadapi musim baharu dengan memberi bayangan akan membawa masuk pemain import berkualiti tinggi bagi memperkukuh skuad Red Giants.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Johan Kamal Hamidon mengesahkan kerja-kerja pencarian pemain sudah pun berjalan sejak lama melalui unit pencari bakat khas kelab, namun tumpuan ketika ini masih diberikan kepada penilaian prestasi pemain sedia ada.
Menurutnya, proses pencarian pemain baharu tidak dilakukan secara tergesa-gesa kerana kelab sudah mempunyai sistem ‘scouting’ yang beroperasi sepanjang tahun.
“Ketika ini kami fokus secara dalaman. Dari segi ‘scouting’ memang kita buat sepanjang tahun kerana kita ada ‘department’ khas untuk itu.
“Kita belum mula ‘engage’ atau berhubung lagi, tetapi kita sudah ada ‘shortlist’ pemain bagi setiap posisi. Itu memang usaha harian kami,” katanya.
Jelasnya, Selangor dan Kim Pan Gon sudah mengenal pasti beberapa posisi kritikal yang perlu diperkuatkan menjelang musim depan namun sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas penilaian menyeluruh terhadap skuad sedia ada selesai dilakukan.
“Buat masa ini, penilaian masih tertumpu 100 peratus kepada pemain sedia ada yang mungkin kita sambung kontrak,” ujarnya.
Pendekatan berhati-hati itu memperlihatkan Selangor tidak mahu terburu-buru dalam merombak skuad, sebaliknya mahu memastikan setiap pemain import yang dibawa masuk benar-benar memenuhi keperluan taktikal pasukan.
Strategi berkenaan juga dilihat selari dengan perancangan jangka panjang kelab untuk membina skuad lebih seimbang dan kompetitif dalam saingan Liga Super.
Dengan ‘radar’ pencarian yang sudah diaktifkan lebih awal, Selangor kini berada dalam fasa persediaan rapi bagi memastikan mereka mampu memberi cabaran lebih besar kepada pencabar utama pada musim akan datang. – UTUSAN










