PETALING JAYA: Meskipun sekadar terikat 1-1 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia kelmarin, Selangor FC (SFC) masih di landasan tepat untuk mara ke perlawanan akhir berdasarkan dominasi permainan yang dipamerkan.
Keputusan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kelmarin menyaksikan peluang kedua-dua pasukan masih terbuka dengan Kuching City memiliki kelebihan bermain di hadapan penyokong sendiri pada aksi timbal balik pada 18 April ini.
Berbeza dengan satu lagi separuh akhir, Johor Darul Ta’zim (JDT) boleh dikatakan sudah sebelah kaki berada di pentas akhir selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City 4-0, sekali gus hanya menunggu pemenang di antara Selangor dan Kuching City.
Ketua jurulatih Selangor, Kim Pan Gon menegaskan keyakinan tinggi bahawa anak buahnya memiliki kelebihan untuk menempah tiket ke final adalah berdasarkan dominasi permainan yang dipamerkan sebelum ini.
Menurutnya, meskipun gol penyamaan hadir pada penghujung aksi, pendekatan menyerang yang menjadi identiti pasukan tetap berjaya diterjemahkan sepanjang perlawanan.
“Bagi saya, kita ada peluang yang lebih tinggi berbanding Kuching City kerana kami beraksi lebih baik berbanding mereka. Kami gembira kalau mereka menyerang pada aksi kedua nanti.
“Kami akan ke sana dan melihat sama ada mereka akan menggunakan kelebihan yang ada untuk menyerang kami. Ia akan jadi satu perlawanan yang baik kerana kita juga tidak akan bertahan.
“Kami mahu sentiasa menyerang dan kami mahu berikan perlawanan yang mengujakan untuk penyokong pada separuh akhir kedua nanti,” katanya selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, pelawat terlebih dahulu mengejutkan Selangor apabila Ronald Ngah Wanja menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-40, sebelum Chrigor Moraes menjaringkan gol penyamaan lewat permainan. – UTUSAN










