PETALING JAYA: Ratu trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri bertekad untuk meningkatkan keberaniannya ketika bersaing dengan jaguh dunia di arena antarabangsa selepas ini.
Izzah yang menamatkan saingan di suku akhir setelah tewas kepada juara dunia dari Belanda, Hetty van de Wouw, menyifatkan kekalahan itu pembelajaran terbesar sebagai seorang atlet.
“Apabila kita bersaing dengan pelumba yang sangat berpengalaman dan yang sama tahap juga, kita tidak boleh pintas mereka sesuka hati sahaja tetapi perlu ada strategi di sebaliknya”, katanya.
Beliau juga menyifatkan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sebagai inspirasi dalam mencari sebarang peluang untuk memintasi pelumba yang lain tidak kira situasi.
“Bagi saya, apabila bertanding pada peringkat antarabangsa, ia jauh berbeza dengan peringkat Asia jadi kesilapan kecil juga perlu dibaiki.
“Kalau tidak, kita hanya membuang tenaga dan itu boleh menyebabkan kita ketinggalan dengan pelumba-pelumba lain,” jelas Izzah.
Pada masa yang sama, Izzah menekankan kepentingan kepada aspek taktikal bagi memastikan terus bersaing dengan pelumba-pelumba bertaraf dunia pada masa akan datang.
“Mungkin kita akan temui lebih banyak perkara lagi dalam latihan kerana ini bukan sama tahap dengan peringkat Asia dan pada masa yang sama, saya juga perlu menikmati setiap perlumbaan,” tambah Izzah.
Dalam pada itu, Izzah menyifatkan prestasinya di Nilai sebagai penambahbaikan besar berbanding di Hong Kong yang mana beliau tersingkir seawal pusingan pertama. – UTUSAN










