PETALING JAYA: Selangor FC perlu segera melupakan episod hitam kekalahan 1-0 kepada Kuching City dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia 2025/26 tempoh hari sekali gus mengalihkan tumpuan mengejar kedudukan naib juara Liga Super Malaysia musim ini.
Penganalisis bola sepak tempatan, Azlan Johar berkata, kegagalan skuad kendalian Kim Pan Gon dalam saingan Piala Malaysia musim ini seharusnya menjadi ‘wake-up call’ buat pemain dan barisan kejurulatihan untuk bangkit pada baki aksi liga.
“Selangor sudah terlepas peluang dalam Piala FA dan Piala Malaysia. Jadi sekarang ini, sasaran paling realistik adalah memastikan kedudukan kedua liga tidak terlepas.
“Kalau itu pun gagal dicapai, ia satu musim yang sangat mengecewakan, lebih-lebih lagi dengan pelaburan besar yang telah dilakukan pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bekas pemain kebangsaan itu turut menegaskan kekalahan tipis kepada Kuching City FC sebelum ini sebenarnya boleh menjadi lebih buruk jika lawan lebih tajam memanfaatkan peluang.
“Mereka sebenarnya bernasib baik tidak kalah lebih besar. Itu gambaran jelas bahawa pasukan perlu bangkit segera dan tingkatkan kualiti permainan.
“Apabila pemain utama tiada, pengganti gagal memberi impak sama. Ini menunjukkan perancangan skuad belum cukup seimbang.
“Setiap pasukan perlu ada pelan kedua. Pemain gantian mesti bersedia dan mampu tampil dalam tekanan,” katanya.
Mengulas baki beberapa perlawanan liga, Azlan tetap optimis Selangor mampu bangkit jika pemain menunjukkan reaksi positif.
“Selangor ini ibarat gergasi. Saya percaya mereka boleh bangkit, tetapi pemain sendiri perlu sedar dan tampilkan aksi sebenar mereka,” jelasnya.
Sementara itu, Azlan melihat aksi antara Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC pada Sabtu ini sebagai perlawanan seimbang, namun kelebihan beraksi di laman sendiri wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh skuad Penyu.
“Keputusan seri menentang Johor Darul Ta’zim FC sebelum ini satu petanda positif, tetapi persoalannya mampu atau tidak mereka kekalkan konsistensi? Itu cabaran utama kebanyakan pasukan dalam liga kita,” katanya.
Skuad Gergasi Merah bakal berkunjung ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV bagi aksi liga super menentang Kelantan The Real Warriors FC (TRW) pada esok. – UTUSAN










