Krisis Asia Barat jadi iktibar kedaulatan makanan, tenaga

Krisis Asia Barat jadi iktibar kedaulatan makanan, tenaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESAN perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran sejak 28 Februari lalu bukan sekadar mencetuskan ketegangan keselamatan di Asia Barat, malah turut mengheret dunia ke dalam tekanan ekonomi, gangguan geopolitik serta ketidakstabilan rantaian bekalan global.

Dalam dunia yang saling bergantung hari ini, konflik bersenjata di satu rantau mampu memberikan kesan berganda kepada negara lain, termasuk Malaysia.

Dalam keadaan ini, rakyat perlu diberikan maklumat yang jelas, tepat dan seimbang agar mereka memahami kedudukan sebenar krisis. Kefahaman ini penting supaya masyarakat dapat menilai keupayaan negara dalam menghadapi tekanan global serta menilai keberkesanan langkah segera yang diambil oleh pihak kerajaan.

Hakikatnya, minyak dan gas merupakan nadi utama kehidupan moden. Sumber ini tidak lagi boleh dilihat sekadar komoditi ekonomi, sebaliknya menjadi asas kepada kelangsungan sistem pengangkutan, industri, elektrik dan perdagangan dunia.

Gangguan bekalan tenaga mencetuskan kesan berantai yang menjejaskan harga barangan, inflasi serta kesejahteraan rakyat.

Namun, lebih penting difahami, cabaran hari ini tidak terhad kepada tenaga semata-mata. Air, makanan dan tempat tinggal turut diangkat sebagai aset strategik yang menentukan daya tahan sesebuah negara.

Penguasaan terhadap sumber-sumber asas ini akan menentukan tahap kemandirian, kekuatan ekonomi serta tempoh survival sesebuah negara dalam menghadapi krisis global.

Tanpa perancangan strategik yang rapi, sesebuah negara berisiko tinggi terperangkap dalam kebergantungan luar. Keadaan ini boleh menjadi lebih kritikal apabila berlaku gangguan rantaian bekalan antarabangsa seperti konflik, sekatan perdagangan atau krisis tenaga.

Perang AS-Israel terhadap Iran memperlihatkan dengan jelas kelemahan sistem kebergantungan import yang terlalu tinggi.
Dalam konteks keselamatan makanan, konsep sekuriti bukan sekadar memastikan bekalan mencukupi di pasaran tetapi turut merangkumi keupayaan menghasilkan makanan secara domestik agar tidak mudah terjejas oleh faktor luar.

Justeru, krisis ketenteraan di Teluk Hormuz menuntut Malaysia melakukan muhasabah menyeluruh terhadap dasar dan model ekonomi. Negara perlu memastikan sistem yang dibangunkan kekal tahan krisis, kukuh serta berdaya saing dalam menghadapi cabaran baharu global.

Malaysia sebenarnya telah merangka pelbagai dasar berkaitan sekuriti makanan seperti Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030), Pelan Tindakan Sekuriti Makanan (2021-2025) serta Pelan Strategik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan 2025-2030. Semua inisiatif ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh sektor pertanian dan makanan.

Namun, adakah dasar ini benar-benar mampu mengurangkan kebergantungan import atau sekadar kekal sebagai sasaran dasar di atas kertas? Realitinya, Malaysia masih berdepan cabaran besar dalam usaha mencapai tahap kemandirian makanan yang tinggi.

Sifar import makanan mungkin tidak realistik, namun tahap kemandirian strategik masih boleh dicapai melalui peningkatan pengeluaran domestik. Negara perlu memperkukuh pengeluaran makanan tempatan sambil mempelbagaikan sumber import bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan.

Beras perlu diberi keutamaan utama. Pengeluaran padi perlu diperkasakan melalui penggunaan varieti baharu yang lebih tahan cuaca, peningkatan teknologi pertanian serta sistem pengairan yang lebih efisien.

Dengan sistem lebih moden, hasil padi dapat ditingkatkan sehingga tiga kali setahun di kawasan tertentu, sekali gus mengurangkan jurang kebergantungan import yang masih berada pada tahap sekitar 60 hingga 70 peratus.

Selain itu, sektor penternakan juga perlu diberi lonjakan baharu. Malaysia masih bergantung kepada import daging dan tenusu dalam jumlah yang besar. Justeru, sistem penternakan integrasi di ladang kelapa sawit boleh diperluaskan sebagai langkah inovatif untuk meningkatkan pengeluaran tempatan.
Pendekatan ini bukan sahaja mengoptimumkan penggunaan tanah, malah mampu mengurangkan kos import secara berperingkat.

 

MALAYSIA perlu mengurangkan kebergantungan luar dengan memperkukuh pengeluaran negara serta mengurus sumber dengan lebih bijak.

 

Negara perlu berani meneroka sumber makanan alternatif secara lebih serius. Tanaman seperti ubi kayu, keledek, jagung, sorghum, kacang kuda, kacang soya, keladi, pisang dan labu boleh dijadikan sumber sokongan makanan negara. Tanaman ini bukan sahaja mudah ditanam, malah tahan cuaca serta sesuai keadaan tanah Malaysia.

Jika diurus secara sistematik, sumber ini boleh diproses menjadi tepung, pati serta pelbagai produk makanan hiliran. Pendekatan ini mampu mengurangkan tekanan terhadap beras sebagai sumber utama makanan negara, di samping memperkukuh kepelbagaian bekalan makanan.

Semua usaha ini memerlukan pendekatan berskala besar, berteknologi tinggi serta pelaksanaan yang konsisten. Sektor pertanian tidak lagi boleh bergantung kaedah tradisional semata-mata. Tenaga kerja mahir berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penggunaan teknologi moden serta pengurusan kos efisien menjadi faktor penentu kejayaan.

Pada masa sama, cabaran seperti kos baja, subsidi, perubahan iklim serta kekurangan tenaga kerja perlu ditangani secara menyeluruh. Tanpa penyelesaian sistemik, sektor pertanian akan terus berdepan tekanan walaupun pelbagai dasar diperkenalkan.

Sektor makanan tidak boleh dilihat sebagai sektor terpencil kerana sebahagian daripada rantaian ekonomi yang lebih besar melibatkan industri makanan dan minuman, sektor runcit serta perkhidmatan penghantaran makanan. Nilai keseluruhan ekosistem ini di Malaysia dianggarkan mencecah ratusan bilion ringgit dan dijangka terus berkembang dalam dekad akan datang.

Walaupun konflik berlaku ribuan kilometer dari Malaysia, kesannya tetap dirasai dalam kehidupan harian rakyat. Kenaikan harga barang, peningkatan kos logistik serta tekanan inflasi menunjukkan bahawa dunia kini benar-benar saling bergantung.

Langkah kecil seperti menanam sayur di halaman rumah memang bermanfaat, namun hanya bersifat sokongan. Kekuatan sebenar sesebuah negara bukan terletak pada kemampuan membeli tetapi pada keupayaan menghasilkan sendiri keperluan asasnya.

Selain itu, negara juga perlu memperkukuh sistem pengurusan krisis secara menyeluruh. Ini termasuk meningkatkan simpanan strategik makanan, tenaga serta merangka pelan bekalan air jangka panjang yang lebih berdaya tahan. Pengurusan air perlu diperkasa kerana tekanan pembangunan industri dan perubahan iklim semakin menjejaskan sumber sedia ada.

Begitu juga literasi maklumat dalam kalangan rakyat perlu dipertingkatkan. Masyarakat perlu dibimbing agar mampu menilai maklumat secara kritis, terutama dalam era media sosial yang dipenuhi pelbagai sumber tidak sahih. Pendidikan awam menjadi kunci bagi memastikan rakyat tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang mengelirukan.

Kerajaan juga perlu memainkan peranan dalam mengurus persepsi rakyat dengan menyampaikan maklumat yang telus, konsisten dan mudah difahami. Ini penting bagi mengelakkan panik serta membina keyakinan terhadap dasar negara.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pengamal media dan penulis politik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×