BEBAN pesawah kini semakin bertambah akibat dari kenaikan harga diesel.
Benar, pesawah sudah lama bergelut dengan kos input, cuaca yang tidak menentu dan hasil yang turun naik. Namun keadaan semasa bukan lagi sekadar ‘tertekan’ sebaliknya sudah menghampiri tahap yang memaksa mereka memilih antara dua perkara sama ada meneruskan musim dengan hutang baharu atau mengurangkan tanaman demi menyelamatkan keluarga.
Sebab itu, luahan pesawah yang mahu berhenti menanam padi tidak wajar dianggap emosi sementara.
Ini kerana ia berkait rapat dengan keterjaminan makanan dan kedaulatan makanan negara.
Padi ialah makanan ruji rakyat Malaysia dan apabila pesawah mula berundur, negara bukan sahaja kehilangan hasil tetapi juga kehilangan keupayaan untuk berdiri dengan lebih mandiri dalam isu bekalan makanan.
TREND PENGELUARAN YANG MEMBIMBANGKAN
Malaysia mempunyai kira-kira 200,000 pesawah. Angka ini besar dan sepatutnya menjadi kekuatan negara. Namun, trend pengeluaran semasa memberi gambaran sektor padi masih rapuh.
Pengeluaran padi pada 2022 direkodkan sekitar 2.282 juta tan metrik, kemudian menurun kepada 2.175 juta tan metrik pada 2023 dan dianggarkan turun lagi kepada sekitar 2.06 juta tan metrik pada 2024.
Penurunan berterusan ini bukan sekadar statistik tetapi menandakan ada masalah yang belum diselesaikan pada peringkat ekosistem iaitu kos, produktiviti, insentif dan pengurusan risiko.
Lebih ketara, purata hasil padi negara masih berada sekitar 3.5 hingga 3.9 tan sehektar, sedangkan kawasan jelapang berpotensi mencecah 5 hingga 7 tan sehektar sekiranya sokongan, teknologi dan kos input berada pada tahap yang munasabah.
Maka, memburukkan pesawah sebagai punca masalah adalah tidak adil sebaliknya perlu diperbetulkan ialah struktur yang mengikat mereka kepada kos tinggi dan pulangan tipis.
HARGA LANTAI HANYA PULANG MODAL
Pesawah tidak akan terus menanam hanya dengan retorik atau harapan. Mereka perlukan motivasi yang paling asas iaitu pulangan yang munasabah. Kos mengusahakan sawah dilaporkan mencecah kira-kira RM5,500 sehektar, yang meletakkan kos pengeluaran sekitar RM1,500 bagi setiap tan metrik atau lebih.
Dalam keadaan ini, harga lantai RM1,500 setan metrik sebenarnya tidak memberi keuntungan yang wajar kerana sekadar cukup-cukup untuk ‘balik modal’. Masalahnya, pesawah menanggung risiko yang besar seperti banjir, kemarau, serangan perosak, penyakit tanaman, serta ketidaktentuan hasil.
Apabila harga lantai hanya menyamai kos menyebabkan risiko tersebut ditanggung sepenuhnya oleh pesawah tanpa sebarang pampasan ekonomi yang realistik.
Seorang pesawah memaklumkan pernah berhutang RM1,800 pada dua musim lalu, kemudian berhutang lagi RM400 pada musim berikutnya kerana hasil tidak menjadi. Itu berlaku sebelum tekanan kos semasa melonjak. Jika sekarang kos bertambah, sejauh mana lagi hutang akan membesar sebelum pesawah memilih untuk berhenti?
Dalam operasi padi, diesel bukan komponen kecil sebaliknya mempengaruhi kos membajak, menuai, pam air, pengangkutan input seperti baja, benih dan racun, serta logistik hasil. Apabila diesel naik, kos naik serentak dan pantas. Inilah sebabnya pesawah melihat keadaan hari ini sebagai ‘titik pemutus’.
Jika kerajaan mahu mengekalkan pesawah sebagai tonggak keterjaminan makanan, maka mesti memahami keputusan berkaitan diesel bukan semata-mata isu fiskal tetapi melibatkan kos pengeluaran makanan negara.
Pada masa sama, ada satu implikasi besar yang sering terlepas pandang iaitu isu pesawah bukan sekadar kebajikan tetapi regenerasi tenaga kerja. Jika pesawah hidup bermaruah dan berpendapatan stabil, membolehkan anak muda melihat sawah sebagai kerjaya yang bernilai dan mampu membina masa hadapan.
Pesawah yang ‘senang’ akan menarik generasi baharu untuk mewarisi sawah, menyerap teknologi moden dan meningkatkan produktiviti. Sebaliknya, jika sawah terus dikaitkan dengan hutang, risiko dan ‘balik modal’, hanya menyebabkan anak muda akan menjauh. Akhirnya sektor padi menjadi sektor ‘orang lama’ sementara dan negara kehilangan warisan tenaga kerja serta kemahiran lapangan.

SELAMATKAN PESAWAH UNTUK SELAMATKAN RAKYAT
Kerajaan mesti bertindak segera dan secara struktural. Pertama, semakan harga asas padi harus dibuat dengan mengambil kira kos sebenar semasa dan risiko ditanggung pesawah, bukan hanya sekadar angka yang kelihatan ‘cantik’ di atas kertas.
Kedua, bantuan bersasar perlu ditambah baik termasuk subsidi input dan bantuan diesel pertanian yang benar-benar sampai kepada pesawah kecil, di samping mekanisasi serta penyelenggaraan infrastruktur sawah.
Ketiga, pembaikan tadbir urus rantaian nilai padi dan beras mesti digerakkan agar manfaat bantuan tidak ‘bocor’ kepada orang tengah atau pihak hiliran semata-mata, sedangkan pesawah terus memikul beban.
Keempat, perlindungan risiko perlu diperkukuh melalui skim takaful lebih mesra tuntutan, dana bencana pantas dan pengurusan air/pengairan yang benar-benar mengurangkan risiko gagal hasil.
Luahan pesawah yang mahu berhenti menanam padi ialah amaran awal yang tidak patut dipandang ringan kerana membabitkan isu keselamatan makanan negara. Menyelamatkan pesawah bermakna mempertahankan makanan rakyat, kestabilan negara dan kedaulatan masa hadapan Malaysia.
Tanpa pesawah yang mampu bertahan, hanya menyebabkan keterjaminan makanan akan rapuh. Apabila keterjaminan rapuh, menyebabkan kos sara hidup akan menekan dan akhirnya seluruh negara membayar harga yang lebih mahal.-UTUSAN
DR. Mukhtaruddin Musa ialah Ketua Penyelidik (Governans & Polisi), Yayasan Strategik Lestari dan pemerhati politik semasa.










