Dana 'kering' ancam karier pelumba muda

Dana ‘kering’ ancam karier pelumba muda

Hakim Danish Ramli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harapan untuk melihat pelumba muda motosikal negara seperti Hakim Danish Ramli dan Qabil Irfan Azlan pergi lebih jauh memburu kejuaraan dunia mungkin tidak kesampaian jika masalah dana terus menghimpit kedua-duanya.

Pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, sudah semestinya bantuan daripada AEON Credit telah menyelamatkan karier Hakim Danish tetapi ia belum mencukupi untuk menampung tempoh jangka panjang.

“Buat masa sekarang, memang kita cakapkan dana untuk Hakim Danish kita boleh uruskan tetapi untuk dana Qabil Irfan langsung tak ada.

“Kita boleh cakap memang sangat sedikit, kita tak boleh hantar pun dia (Qabil Irfan) pergi berlumba dekat Eropah dan bagi Kejuaraan MiniGP (musim 2026) pula kita pun sangat-sangat terganggu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sebelum ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ada mengeluarkan kenyataan bahawa tiada peruntukan untuk Hakim Danish dan sukan bermotor untuk tahun ini bagaimanapun, kementerian itu berjanji untuk mencari mekanisme terbaik bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Zulfahmi berkata, beliau sedar ZK Racing tidak boleh terlalu mengharapkan bantuan daripada KBS semata-mata dan di atas faktor itu, pasukannya agresif mencari penaja bagi memastikan masa depan Hakim Danish dan Qabil Irfan terjamin, termasuk program pembangunan dapat diteruskan.

“Saya memang akan bertungkus-lumus untuk memastikan karier Hakim Danish dan Qabil Irfan dapat diteruskan. Tetapi saya memang betul-betul mengharapkan sokongan daripada kementerian kerana platform yang kita buat sebelum ini terbukti berjaya.

“Saya percaya walaupun sukan pemotoran ni bukanlah sukan teras tetapi ia adalah satu sukan yang perlu diberi perhatian sebab rakyat kita menjiwai sukan ini dan ramai anak muda di luar sana yang sukakan sukan bermotor

“Kita pun nampak di media sosial banyak tarikan kepada Hakim Danish dan juga Qabil Irfan terutamanya, sebab kedua-dua mereka ini adalah pelumba yang luar biasa yang kita temui melalui program MiniGP,” tegasnya.

Bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara itu berkata, dalam masa sama, pihaknya juga amat berharap Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dapat memainkan peranan besar untuk menjadi jambatan antara ZK Racing dan KBS.

“Untuk program elit seperti Qabil (Irfan) dan juga Hakim Danish, tiada lagi apa-apa unsur bantuan kewangan daripada KBS. Saya percaya pihak SIC yang perlu usahakan perkara ini ataupun posisikan dengan betul macam mana kita perlu dapat dana yang sama seperti tahun-tahun sebelum ini” katanya.

Kata Zulfahmi, pihaknya telahpun mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Dr.  Mohammed Taufiq Johari dan hasilnya sangat positif, justeru beliau amat berharap ada perkembangan positif dalam masa terdekat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN