BRIGHTON: Chelsea mengambil keputusan drastik memecat Liam Rosenior sebagai pengurus selepas pasukan itu mengalami lima kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pengendali berusia 41 tahun itu hanya mengemudi pasukan lebih tiga bulan selepas meninggalkan kelab Perancis, Strasbourg yang mempunyai kaitan dengan pemilik Chelsea dari Amerika Syarikat (AS).
Kekalahan 0-3 di tangan Brighton, kelmarin menjadi penamat buat Rosenior, sekali gus menyaksikan Chelsea tewas lima perlawanan liga berturut-turut tanpa menjaringkan gol buat kali pertama sejak 1912.
Kemenangan tersebut melonjakkan Brighton ke tangga keenam liga dengan 50 mata, manakala Chelsea berada di tangga ketujuh dengan 48 mata selepas 34 perlawanan musim ini.
Ferdi Kadioglu membuka jaringan seawal minit ketiga sebelum Jack Hinshelwood dan Danny Welbeck menambah gol di babak kedua untuk melengkapkan kemenangan selesa tuan rumah.
Chelsea terus bergelut di bawah kendalian Rosenior apabila hanya melakar satu kemenangan dalam sembilan perlawanan terakhir liga dan berisiko terlepas saingan Eropah musim depan.
Anak buah Rosenior gagal memberi reaksi selepas ketinggalan di babak pertama, selain tidak melakukan satu pun percubaan tepat dalam tempoh 45 minit pertama.
Chelsea kini berdepan aksi penting separuh akhir Piala FA menentang Leeds United hujung minggu ini yang boleh menentukan hala tuju musim mereka.- AGENSI/UTUSAN










