“AKAN tetapi di samping kewajipan yang telah dipikulkan ke atas pundak si suami itu, si isteri itu mempunyai hak sendiri yang dijamin oleh Allah SWT dan Rasul; ertinya apabila laki-laki yang merasa dirinya lebih kuat itu bertindak sewenang-wenang sehingga hak si isteri itu terlanggar, berdosalah yang melanggar itu kepada Allah dan Rasul. Tegasnya sumbinglah keIslamannya.” – Buya Hamka.
Kita disajikan dengan pelbagai berita yang mengejutkan kebelakangan ini, khususnya kejadian jenayah berat yang rawak dalam negara. Sebagai contoh, dalam tempoh tiga bulan sejak Disember 2025, pelbagai kes pembunuhan dalam kalangan ahli keluarga dilaporkan.
Antara kejadian yang dibincangkan secara umum. Pada 1 Disember 2025, seorang warga emas berusia 63 tahun bertindak membunuh isterinya dengan dua tikaman dalam kejadian di Tanah Merah.
Pada 8 Disember 2025 dalam satu kejadian di Seberang Perai, seorang pemuda berusia 28 tahun membunuh isterinya yang berusia 40 tahun dan menyimpan mayat mangsa dalam kamar tidur selama empat hari sebelum suspek menyerahkan diri ke balai polis.
Pada 30 Disember 2025, seorang doktor perubatan berusia 34 tahun bertindak membunuh isterinya dan anak mereka yang baru berusia 5 tahun di Johor Bahru. Suspek juga bertindak cuba menghapuskan barang bukti.
Pada 11 Februari 2026 di Damansara Kepong, seorang lelaki berusia 54 tahun bertindak membunuh diri selepas membunuh isterinya dengan 13 tikaman.
Pada 13 Februari 2026, seorang lelaki berusia 35 tahun bertindak membunuh isterinya yang sedang hamil kandungan 7 bulan menggunakan lesung batu di Kota Tinggi.
Insiden pembunuhan keluarga yang menyayat hati berlaku pada 17 Februari 2026 apabila seorang lelaki berusia 32 tahun membunuh isterinya dan dua orang anak mereka yang masing-masing berusia 2 dan 5 tahun, sebelum membunuh ibu kandungnya dan akhirnya bertindak membunuh diri di Kuantan.
Setiap kejadian ini membentuk statistik yang menggerunkan. Apakah yang sedang berlaku dalam masyarakat Malaysia sehingga pembunuhan kejam tidak dilakukan oleh orang asing sebaliknya ahli keluarga sendiri? Adakah keselamatan wanita yang sudah berumahtangga kini dalam risiko?
Familicide (pembunuhan beramai-ramai terhadap ahli keluarga sendiri) yang dilakukan oleh lelaki yang membunuh isteri, anak-anak dan diri mereka sendiri dinamakan oleh ahli sosiologi terkemuka, Emile Durkheim sebagai ‘bunuh diri anomik’ atau ‘anomic suicide’.
Ini berlaku apabila terdapat perubahan radikal dan ketara dalam persekitaran sosial dan ekonomi seseorang. Ia mencerminkan keadaan, di mana individu berasa tidak tentu arah, kecewa dan tidak dapat menghadapi perubahan sosial.
Melihat kepada insiden familicide yang turut diakhiri dengan pembunuhan diri, pakar psikiatri menegaskan perbuatan pelaku tidak bermotifkan kebencian semata-mata. Sebaliknya, mereka mengalami salah anggap atau delusi bahawa pembunuhan yang dilakukan adalah atas dasar kasih sayang terhadap keluarga.
Rasionalisasi songsang ini sering terzahir akibat kemurungan psikotik yang merosakkan kewarasan, bila mana pelaku percaya kononnya dengan membunuh insan tersayang, mereka membantu ahli keluarga keluar daripada dunia yang dirasakan kejam dan tanpa harapan.
Dalam kajian di Amerika Syarikat (AS) sekitar 2010, familicide tidak berlaku secara mengejut atau tanpa isyarat awal. Acapkali insiden familicide bermula dengan keganasan rumah tangga termasuklah penderaan mental dan fizikal terhadap ahli keluarga oleh pelaku.
Malah, kajian yang dibentangkan oleh Prof. Dr. Jacquelyn C. Campbell dari Johns Hopkins University School of Nursing menyatakan tekanan luar seperti masalah kewangan tidak semestinya mengakibatkan familicide melainkan jika dinamika keluarga sudah pun dimulakan dengan insiden keganasan rumah tangga yang berlarutan.
Kerana itu memelihara keselamatan sesebuah keluarga bukan lagi tanggungjawab ketua keluarga itu semata-mata.

MASYARAKAT TIDAK BOLEH LEPAS TANGAN
Pada zaman di mana perubahan sosial sedang berlaku secara berterusan dan dengan radikal, menyebabkan amanah juga perlu dipikul oleh ahli masyarakat yang ada di sekeliling keluarga itu.
Pemeliharaan keluarga perlu dimulakan dengan memastikan sokongan sosial tersedia untuk semua orang yang memerlukan. Apabila insiden mengejut berlaku, siasatan sering melihat kepada faktor stres dan cemburu sebagai penyumbang punca kejadian berlaku.
Maka kesedaran dan pengetahuan bagi mengendalikan emosi secara sihat perlu diperhebatkan lagi.
Komitmen yang diberikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk memperkasakan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) bagi membantu individu yang menghadapi tekanan perasaan perlu disegerakan dan dilaksanakan dengan berkesan agar capaian kepada PSSS bukan hanya kepada mereka yang berada di bandar.
Dalam masa sama, pihak penguatkuasa undang-undang harus menyelidik setiap aduan keganasan rumah tangga dengan lebih efektif. Saya sering menerima aduan bagaimana balai polis enggan menerima laporan mengenai gangguan rumah tangga dengan mengatakan insiden pergaduhan kecil sememangnya lumrah berumahtangga.
Walhal membiasakan keganasan berleluasa dalam sebuah institusi keluarga adalah serupa dengan membiarkan anak harimau diajar makan daging.
Pada ketika negara melihat insiden familicide yang banyak berlaku mutakhir ini, masyarakat tidak boleh mengambil sikap tunggu dan lihat atau enggan menjaga tepi kain orang lain.
Sebagai rakyat Malaysia yang mementingkan kesejahteraan semua, seharusnya kita mulakan perayaan Hari Wanita tahun ini dengan menekankan peri penting pemeliharaan keselamatan wanita untuk semua.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










