FYP15 China buka peluang besar untuk Malaysia

FYP15 China buka peluang besar untuk Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIDANG keempat Jawatankuasa Kebangsaan ke-14 Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) dan Sidang Keempat Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) ke-14 China baru-baru ini melabuhkan tirainya.

Dalam sidang tersebut, Kongres Rakyat Kebangsaan meluluskan garis panduan Rancangan Lima Tahun ke-15 (FYP15) bagi pembangunan sosioekonomi negara. Pelan ini menyediakan hala tuju yang jelas, pragmatik dan boleh dilaksanakan untuk tempoh lima tahun akan datang, sekali gus mengukuhkan langkah China untuk terus maju ke hadapan.

Dalam tempoh FYP15, China akan memperkukuh asas pembangunan dan menggembleng usaha secara menyeluruh bagi membuka lembaran baharu dalam pembinaan pemodenan ala China.

Selepas mencapai matlamat utama Rancangan Lima Tahun Ke-14 (FYP14) serta mencatat jumlah ekonomi melebihi 140 trilion yuan, China kini menumpukan kepada 20 penunjuk utama, 16 bidang tugas strategik serta 109 projek utama seperti yang digariskan dalam FYP15.

China akan berusaha secara terancang untuk memacu pembangunan berkualiti tinggi, memperkukuh kemandirian dan keupayaan teknologi serta memperdalam pembaharuan secara menyeluruh. 

Di samping itu, China akan meningkatkan tahap peradaban masyarakat, kualiti hidup rakyat, memajukan pembinaan ‘China yang Indah’ serta mengukuhkan keselamatan negara. 

China juga akan terus mendorong peningkatan ekonomi yang lebih berkualiti serta memastikan peningkatan keluaran ekonomi yang munasabah, di samping menggalakkan pembangunan menyeluruh insan dan kemakmuran bersama seluruh rakyat. Kesemua usaha ini meletakkan asas penting bagi mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita setaraf negara maju peringkat sederhana dan pada asasnya merealisasikan negara sosialis moden menjelang 2035.

 

MELALUI pengukuhan hubungan dua hala, Malaysia berpotensi menikmati manfaat dalam perdagangan, pelaburan, teknologi serta pembangunan industri baharu seperti ekonomi digital dan ekonomi hijau.

 

PEMODENAN, KETERBUKAAN DAN PERTUMBUHAN BERKUALITI TINGGI

 

Dalam tempoh FYP15, China akan mengekalkan prinsip kemajuan yang stabil, terus membuka pintu kepada dunia luar, sekali gus melangkah ke tahap baharu dalam pembukaan berstandard tinggi. 

Kehebatan sesebuah negara terletak pada keupayaannya memberi manfaat kepada dunia. Sepanjang lima tahun lalu, ekonomi China mencatat kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 5.4 peratus, dengan sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi global kekal pada sekitar 30 peratus. 

Dalam tempoh lima tahun akan datang, asas menyokong prospek jangka panjang ekonomi  China yang positif akan menjadi semakin kukuh, manakala trend pertumbuhan berterusan akan semakin diperkasakan. 

Sebagai pasaran pengguna yang paling berpotensi dan ekonomi membangun terbesar di dunia, China akan terus memperluas keterbukaan berasaskan sistem secara berperingkat dan konsisten. Negara itu memberi tumpuan kepada sektor perkhidmatan dengan memperluas akses pasaran, di samping meningkatkan kualiti serta tahap kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan. Usaha ini sekali gus memperkukuh peranan China sebagai sauh kestabilan dan pemacu momentum ekonomi global.

China bersedia untuk berkongsi manfaat pembangunan dengan semua negara, menjadikan pasaran besarnya sebagai peluang besar kepada dunia serta memacu pertumbuhan baharu global menerusi pembangunan baharu sendiri.

Dalam tempoh FYP15 juga, China berpandangan global serta berani memikul tanggungjawab dan terus menyumbang kepada pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Musuh manusia bukanlah antara satu sama lain tetapi peperangan, kemiskinan, kelaparan dan ketidakadilan. Untuk mengatasi cabaran ini, kita mesti bersatu padu dan bekerjasama. 

Dalam situasi antarabangsa yang kian bergolak dan tidak menentu, menyebabkan nilai zaman dan kekuatan kebenaran konsep komuniti berkongsi nasib sesama insan semakin terserlah serta semakin meresap dalam kalangan masyarakat antarabangsa. 

China akan terus memainkan peranan sebagai kuasa besar yang bertanggungjawab serta bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk menggalakkan dunia multipolar yang adil dan teratur serta globalisasi ekonomi inklusif selain memberi manfaat kepada semua. 

China juga akan memperkukuh pelaksanaan empat inisiatif global, iaitu Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif Keselamatan Global (GSI), Inisiatif Peradaban Global (GCI) dan Inisiatif Tadbir Urus Global (GGI). Pada masa yang sama, China akan terus mendorong proses pemodenan dunia yang berteraskan pembangunan aman, kerjasama saling menguntungkan dan kemakmuran bersama.

Usaha ini sekali gus mengarah kepada pembentukan orde antarabangsa yang lebih adil dan saksama, di samping menegaskan pendirian menentang hegemoni, tindakan sewenang-wenangnya dan amalan penindasan.

Tahun ini menandakan bermulanya pelaksanaan FYP15 China dan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13). Kedua-dua negara akan memasuki fasa penting yang menghubungkan masa lalu dan membuka lembaran baharu dalam proses modenisasi masing-masing. 

China bersedia menjadikan ini sebagai titik tolak, dengan berpandukan konsensus penting yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara, untuk terus memperkukuh penyelarasan strategi pembangunan bersama Malaysia dan berusaha demi merealisasikan hasil penting lawatan Presiden Xi Jinping ke Malaysia tahun lalu. 

Pihak China akan terus memajukan projek-projek kerjasama secara berkualiti tinggi di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan ‘Dua Negara, Dua Taman’. 

Di samping itu, kedua-dua negara akan terus meneroka dan memanfaatkan kelebihan saling melengkapi serta potensi kerjasama dalam bidang termaju dan industri yang pesat membangun, termasuk ekonomi digital dan ekonomi hijau.

Kedua-dua pihak juga akan bersama-sama membangunkan hab kerjasama serantau bagi memperkukuh kuasa produktif berkualiti baharu, di samping memperkukuh pembinaan komuniti berkongsi nasib China–Malaysia yang bersifat strategik dan bertaraf tinggi. Usaha ini diharap dapat membawa manfaat yang lebih besar kepada kedua-dua negara serta rakyatnya.

Perjalanan terbentang luas, masa depan kian cerah. Kini, kita berdiri di titik permulaan baharu, lembaran ‘50 Tahun Keemasan’ hubungan China-Malaysia terbentang sepenuhnya. 

Sebagai jiran baik yang saling membantu, sahabat sejati dan rakan yang berkongsi suka dan duka, China dan Malaysia pasti akan berganding bahu untuk melakar masa depan yang gemilang berteraskan dengan kerjasama saling menguntungkan, menggemakan suara zaman yang penuh perpaduan, serta menulis lembaran sejarah yang makmur dan cemerlang. –UTUSAN

 

PENULIS ialah Duta Besar ke Malaysia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN