PETALING JAYA: Atlet baling tukul besi negara, Sadat Marzuqi Ajisan memasang impian untuk mencatatkan rekod balingan peribadi sejauh 65 meter (m) musim ini dalam usaha mengukuhkan kedudukannya sebagai antara atlet elit di rantau Asia Tenggara.
Menurut Sadat, fokus utamanya kini untuk menerokai kemampuannya pada tahap maksimum bagi memastikan balingan 65m itu mampu dicapai dalam kejohanan kompetitif yang akan disertainya tahun ini.
“Saya sasarkan 65m ke atas. InsyaAllah sasaran itu pada pertengahan atau hujung tahun ini. Sekarang saya baru selesai fasa penyediaan diri.
“Kejohanan paling penting adalah sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026. Mungkin saya akan pecahkan rekod di situ,” kata atlet berusia 25 tahun itu.
Pemenang pingat perak Sukan SEA 2025 itu turut berkata, dia merancang untuk menjalani latihan di luar negara memandangkan jurulatihnya mempunyai kenalan di Algeria.
“Mesti (berlatih di luar negara). Saya perlukan pendedahan di luar negara. Saya merancang untuk ke Algeria memandangkan kita pun dah kenal jurulatih dari sana. Bila tak pasti lagi.
“Saya mendapat tahu fasiliti di sana lagi baik. Sebelum ini saya pernah berlatih di China pada 2023 selama sebulan. Saya harap dapat berlatih di Algeria lebih lama dalam tiga hingga empat bulan,” katanya.
Terdahulu, Sadat memenangi perak di Thailand dengan balingan 60.15m sekali gus menewaskan atlet berpengalaman negara, Jackie Wong yang meraih gangsa dengan catatan 59.81m. – UTUSAN










