PETALING JAYA: Pengarah teknikal skuad berbasikal trek negara, John Beasley percaya Datuk Azizulhasni Awang masih berkemampuan untuk bersaing di pentas tertinggi dunia termasuk di Sukan Olimpik 2028.
Menurut Beasley, prestasi dan pengalaman yang dimiliki Azizulhasni membuktikan pelumba berusia 38 tahun itu berupaya memberi saingan sengit kepada pencabar muda di peringkat antarabangsa.
“Sudah tentu. Di Perth, kelajuan perlumbaan yang dihasilkannya dalam 200 meter (m) terakhir sebenarnya lebih pantas daripada 200m terakhir dalam final Olimpik di Paris.
“Dalam perlumbaan penentuan gangsa, dia menewaskan pelumba dengan masa kelayakan kedua terpantas. Jadi, tidak syak lagi dia masih mempunyai segala kemampuan untuk menang,” katanya.
Terdahulu, Azizulhasni memenangi emas acara keirin dalam siri Piala Dunia Berbasikal Trek di Perth pada Sabtu lalu sekali gus menewaskan pelumba No. 1 dunia, Matthew Richardson dari England.
Keesokkan harinya pula, Azizulhasni membawa pulang gangsa bagi acara pecut menewaskan pelumba Israel, Mikhail Yakovlev.
Bagaimanapun, Beasley menegaskan sebarang keputusan mengenai masa depan Azizulhasni tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa atau drastik kerana terdapat beberapa faktor penting yang perlu dipertimbangkan terlebih dahulu.
Katanya, Azizulhasni bukan sahaja seorang atlet negara malah seorang suami dan bapa yang mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga di mana kehidupan peribadinya perlu diambil kira.
“Keluarganya memberi sokongan penuh kepadanya tahun ini supaya dia dapat menamatkan kerjayanya dengan penuh kebanggaan. Sama ada itu bermaksud menamatkan kerjaya tahun ini atau meneruskannya hingga ke Sukan Olimpik 2028 akan diputuskan langkah demi langkah,” katanya. – UTUSAN










