Tiada Shah Firdaus, peluang buat Ridwan

Tiada Shah Firdaus, peluang buat Ridwan

Muhammad Ridwan Sahrom tampil menggalas cabaran dalam acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Filipina pada Mac ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketiadaan Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak menghalang pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Ridwan Sahrom tampil menggalas cabaran dalam acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Filipina pada Mac ini.

Ridwan yang sebelum ini sering melengkapkan strategi bersama abangnya itu, menganggap situasi tersebut sebagai ruang terbaik untuk membentuk identiti serta reputasinya sendiri dalam acara yang menuntut keberanian dan ketajaman taktikal.

“Memang ada rasa sedih (ketiadaan Shah), sebab kalau ada abang mungkin strategi lebih kemas, tapi kali ini saya bergerak solo dan harap tiada masalah untuk lakukan kejutan.

“Sasaran saya sekurang-kurangnya satu pingat dalam acara individu dan kalau boleh bantu pasukan dalam pecut berpasukan juga,” kata Ridwan.

Mengulas persiapan, Ridwan menjelaskan kem latihan kini berada dalam fasa kekuatan sebelum beralih kepada blok kelajuan dua atau tiga minggu menjelang kejohanan bagi memastikan kemuncak prestasi hadir tepat pada waktunya.

Dalam acara pecut berpasukan, beliau dijangka bergandingan bersama Muhammad Fadhil Zonis dan Mohd Akmal Nazimi Jusena, sekali gus membentuk kombinasi mantap yang diharap mampu memberi cabaran sengit kepada kuasa besar Asia seperti Jepun dan Korea Selatan.

Bagaimanapun, Ridwan bersandarkan pengalaman di pentas antarabangsa selepas menutup kempen 2025 dengan cemerlang apabila meraih emas di Sukan SEA 2025 dengan menewaskan pelumba tuan rumah yang juga bekas juara Asia 2018, Jai Angsuthasawit.

Menurut pelumba kelahiran Muar itu, kejayaan tersebut menjadi suntikan keyakinan untuk mencipta impak baharu di Tagaytay sekali gus memastikan cabaran Malaysia kekal seimbang walaupun tanpa Shah Firdaus.

“Tahun lalu saya keempat dalam acara pecut dan kali ini fokus saya sepenuhnya kepada keirin dengan sasaran berada dalam kelompok lima terbaik,” katanya.

Untuk rekod, pada ACC edisi 2025 lalu di Velodrom Nasional Nilai, skuad negara membawa pulang dua emas, empat perak dan empat gangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN