LONDON: Tottenham dijangka melantik Igor Tudor sebagai pengurus interim sehingga akhir musim selepas pemecatan Thomas Frank, menurut laporan.
Tudor dilaporkan telah mencapai persetujuan secara lisan dengan Tottenham dan kelab itu dijangka memuktamadkan perjanjian tersebut dalam masa terdekat.
Pengendali berusia 47 tahun itu dipecat oleh Juventus, Oktober lalu selepas lapan perlawanan tanpa kemenangan menyebabkan kelab Itali itu bergelut di tangga kelapan Serie A.
Beliau juga pernah mengendalikan Lazio, Marseille, Hellas Verona, Hajduk Split, Galatasaray dan Udinese.
Di Juventus, Tudor mewarisi pasukan yang berada di luar kelompok kelayakan Liga Juara-Juara pada penghujung kempen 2024-25, namun beliau membimbing mereka menamatkan saingan di tempat keempat selepas hanya tewas sekali dalam 11 perlawanan pertamanya sebagai pengendali.
Apabila pelantikannya disahkan, bekas pertahanan Croatia itu akan ditugaskan untuk memperbaiki keadaan yang ditinggalkan oleh Frank, yang dipecat Rabu lalu selepas kekalahan 2-1 kepada Newcastle United 24 jam sebelumnya.
Tottenham kini hanya lima mata di atas zon penyingkiran Liga Perdana.
Frank, yang diambil dari Brentford tahun lalu selepas pemecatan Ange Postecoglou, menerima padah susulan rekod hambar dua kemenangan dalam 17 perlawanan liga.
Pemain Tottenham diberi cuti sehingga Isnin kerana kelab itu tidak mempunyai perlawanan hujung minggu selepas tersingkir daripada FA Cup, Januari lalu.
Tudor dijangka sudah mengambil alih ketika mereka kembali menjalani latihan.
Langkah memilih pengurus sementara ini mengikut contoh Manchester United, yang melantik Michael Carrick sehingga akhir musim selepas memecat Ruben Amorim.
Tottenham juga dikaitkan dengan bekas pengurus Borussia Dortmund, Edin Terzic, serta bekas ketua jurulatih RB Leipzig, Marco Rose sebelum laporan mengenai persetujuan mereka dengan Tudor.
Calon untuk jawatan tetap Tottenham berkemungkinan termasuk bekas pengurus mereka Mauricio Pochettino selepas komitmennya bersama Amerika Syarikat di Piala Dunia pada Jun dan Julai.
Perlawanan seterusnya Tottenham ialah derbi utara London di laman sendiri menentang pendahulu Liga Perdana, Arsenal, pada 22 Februari. – AFP/UTUSAN










