Slot puji sentuhan 'magis' bintang Mesir

Slot puji sentuhan ‘magis’ bintang Mesir

Pemain pertahanan Liverpooli, Virgil van Dijk (kiri) menanduk bola hantaran Mohamed Salah untuk menjaringkan gol dalam aksi menentang Sunderland di Stadium of Lights, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNDERLAND: Mohamed Salah sekali lagi membuktikan statusnya sebagai nadi utama Liverpool apabila umpanan tepatnya menghadiahkan gol kemenangan 1-0 ke atas Sunderland dalam aksi Liga Perdana Inggeris, semalam.

Sepakan penjuru yang disempurnakan pemain Mesir itu pada minit ke-61 disambut kemas Virgil van Dijk untuk jaringan tunggal perlawanan, sekali gus memastikan tiga mata berharga buat The Reds di Stadium of Light.

Lebih manis, bantuan gol tersebut menyaksikan Salah kini mengumpul 92 umpanan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), menyamai rekod legenda kelab, Steven Gerrard.

Pengurus Liverpool, Arne Slot tanpa berselindung memuji impak besar yang diberikan Salah, malah menyifatkan pemain itu sebagai antara yang terbaik pernah menyarung jersi kelab berkenaan.

“Dia ada begitu banyak rekod untuk kelab ini, tetapi untuk berkongsi rekod ini dengan pemain sehebat itu sangat istimewa. Kedua-duanya pemain luar biasa untuk kelab ini.

“Malangnya buat Steven, saya jangka Mo akan mengatasinya. Saya harap dia mampu melakukannya,” kata Slot.

Kenyataan itu seakan menutup terus spekulasi hubungan dingin antara kedua-dua mereka sebelum ini.

Salah pernah meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa dirinya seperti ‘dihumban ke bawah bas’ selepas digugurkan susulan kemerosotan prestasi pada awal musim.

Situasi itu mencetuskan desas-desus mengenai masa depannya di Anfield, namun kedua-dua pihak akhirnya mencapai persefahaman dan Salah kembali menjadi pilihan utama dalam kesebelasan Slot.

Kemenangan tersebut amat bermakna buat Liverpool yang sebelum ini hanya menang sekali dalam tujuh aksi liga, malah, keputusan itu turut menamatkan rekod tanpa kalah Sunderland di laman sendiri dalam saingan liga utama musim ini.

The Reds kini melonjak ke tangga keenam, hanya dua mata di belakang Chelsea di tempat kelima dan tiga mata daripada Manchester United yang menghuni kelompok empat teratas.

“Begitu penting. Saya rasa kami berjuang habis-habisan selepas hanya rehat dua hari, kemudian beraksi di tempat lawan yang sukar. Kami sekali lagi menunjukkan betapa baiknya kami menguasai bola.

“Karakter yang kami pamerkan sepanjang perlawanan amat bagus dan sebab itu kami pulang dengan kemenangan 1-0.

“Babak kedua, kami ada banyak detik baik dan banyak situasi dengan pemain berkualiti berada di posisi berbahaya. Prestasi keseluruhan dari segi kadar kerja memang sangat memuaskan,” ujar Slot. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×