PANTAI dan sungai di negara ini sering digambarkan sebagai syurga tropika yang bersih, hijau dengan pokok-pokok kelapa, ru mahupun bakau. Namun di sebalik panorama indah ini, tersembunyi sebuah ancaman senyap yang semakin meruncing iaitu pencemaran kimia yang meracuni ekosistem dan menggugat kesihatan rakyat.
Keindahan semula jadi itu sebenarnya sedang berdepan bom jangka ekologi yang menunggu masa untuk meletup.
Sejak dekad 1980-an, saintis tempatan memberi amaran tentang bahaya logam berat seperti raksa, kadmium, plumbum, kuprum dan zink.
Kajian di Sungai Perai, Sungai Juru, perairan Kuala Gula, pantai Selangor, pantai Negeri Sembilan, Sungai Sepang, Sungai Lukut dan Selat Johor membuktikan sedimen sungai serta pantai menerima efluen industri, pertanian dan pembangunan pesisir.
Hasil kajian ini diterbitkan dalam jurnal tempatan dan antarabangsa, menjadi bukti kukuh Malaysia tidak kebal daripada ancaman pencemaran kimia.
Sejarah penternakan babi di kawasan Juru Seberang Perai, Bukit Pelanduk di Negeri Sembilan, dan Sepang di Selangor pernah menggemparkan negara. Sisa buangan kandang termasuk najis dan air basuhan, dilaporkan meningkatkan paras kuprum (Cu) dan zink (Zn) dalam sedimen sungai.
Logam berat ini, dicampur dalam makanan haiwan sebagai mikro-mineral penting untuk menyokong fungsi fisiologi, keimunan, pertumbuhan optimum dan kesihatan haiwan umumnya. Bahan buangan yang mengandungi kepekatan logam berat yang tinggi akhirnya mengalir ke sungai dan merosakkan ekosistem.
Haiwan bentik dan ikan menjadi mangsa dan kesannya menjalar ke laut, menjejaskan sumber makanan rakyat.
Walaupun kajian tentang pencemaran logam berat berkurangan berbanding era 1980-an dan 1990-an, namun ancaman baharu terus muncul seiring pertumbuhan industri moden, perkapalan, perladangan kelapa sawit dan sektor akuakultur.
Organisma bentik iaitu hidupan kecil di dasar sungai dan pantai adalah penapis semula jadi ekosistem. Haiwan ini berada di kedudukan penting dalam rantai makanan, menjadi makanan utama burung migrasi di laluan Asia Timur-Australasia.
Dalam sektor pertanian, glyphosate digunakan secara meluas di ladang kelapa sawit. Racun rumpai sistemik ini murah dan berkesan tetapi pengumpulan dalam rantai makanan boleh menggugat ekosistem pantai. Burung pemangsa dan ikan endemik terdedah kepada kesan jangka panjang yang masih belum difahami sepenuhnya.
Sektor akuakultur pula menambah risiko baharu. Kolam udang dan sangkar ikan menggunakan bahan kimia, vaksin dan antibiotik untuk kawalan penyakit. Jika tidak dipantau, bahan kimia ini boleh meresap ke ekosistem bentik dan akhirnya menjejaskan kesihatan manusia melalui bioakumulasi dalam makanan laut.
Kerang, misalnya, menjadi indikator penting kerana dimakan secara meluas oleh manusia.
Aktiviti perkapalan turut menyumbang kepada pencemaran organotin, khususnya tributyltin (TBT) dalam cat antiteritip. Kajian menunjukkan TBT menyebabkan fenomena imposex dalam moluska apabila betina membentuk ciri jantan akibat gangguan sistem endokrin.
Fenomena ini bukan sahaja menjejaskan populasi moluska tetapi memberi amaran sistem endokrin dan imuniti manusia juga boleh terganggu.
Dunia pernah digemparkan dengan tragedi Minamata di Jepun akibat keracunan raksa, dan penyakit itai-itai akibat pencemaran kadmium. Malaysia tidak boleh menunggu sehingga tragedi besar berlaku sebelum bertindak.
Malaysia sebenarnya sudah menetapkan paras bahan kimia tertentu dalam undang-undang alam sekitar. Namun cabaran utama ialah pelaksanaan dan pemantauan berterusan.
Jabatan kerajaan berkaitan seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Alam Sekitar, Pertanian, Perikanan, Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mesti duduk semeja dan membentuk jawatankuasa khas.
Budaya bekerja dalam kepompong tidak lagi relevan kerana pencemaran kimia memberi kesan rentas sektor melibatkan ekosistem, kesihatan manusia, ekonomi nelayan dan imej negara.

PERANAN UNIVERSITI
Generasi awal saintis meletakkan asas kajian logam berat sejak 1980-an. Namun apabila tokoh-tokoh ini bersara, kesinambungan penyelidikan bergantung kepada pelapis baharu.
Universiti mesti diberi dana mencukupi bukan sahaja untuk pemantauan jangka panjang tetapi juga untuk melatih penyelidik muda dalam bidang ekotoksikologi, genetik dan kepelbagaian biologi.
Tanpa saintis pelapis, Malaysia akan kehilangan kepakaran kritikal dalam menangani isu pencemaran kimia.
Pencinta alam semula jadi sering menjadi pihak pertama yang peka terhadap isu pencemaran bahan kimia dan kesannya kepada kepelbagaian biologi.
Malaysia adalah antara negara yang kaya dengan kepelbagaian biologi dunia. Orang politik dan pembuat dasar biasanya lebih sensitif apabila pencemaran dikaitkan dengan kesihatan manusia dan ekonomi.
Justeru, naratif pencemaran kimia perlu digerakkan dengan menekankan kaitannya dengan keselamatan makanan, penyakit kronik dan kesejahteraan rakyat. Hanya dengan cara itu isu ini akan mendapat perhatian serius di peringkat nasional.
Pencemaran bahan kimia di pantai dan sungai Malaysia adalah bom jangka ekologi yang tidak boleh diabaikan.
Walaupun penekanan terhadap pencemaran logam berat berkurangan berbanding tiga dekad lalu, ancaman baharu daripada industri, pertanian, perkapalan, akuakultur serta sisa elektronik dan elektrik menuntut perhatian berterusan.
Malaysia mesti melabur dalam pemantauan secara saintifik, melatih generasi penyelidik baharu dan membentuk jawatankuasa khas antara jabatan.
Jika tidak, kita berisiko mengulangi tragedi global seperti Minamata dan Itai-itai di tanah air sendiri.-UTUSAN
DR. Ahmad Ismail ialah Felo Akademi Sains Malaysia (ASM).










