PADA 22 Januari lalu, saya mendapat berita daripada rakan penulis, M. Mahendran yang memaklumkan pakar bahasa Melayu, Dr. Nathesan Sellappan meninggal dunia sehari sebelum itu di Muar, Johor.
Kali terakhir saya berkomunikasi dengan mendiang ialah pada Jun 2024 apabila beliau menghubungi untuk memaklumkan ada rencananya di majalah Pelita Bahasa dan Dewan Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Saya sempat mewawancara dan memasukkan maklumat diri penulis ini dalam buku Kavya Sastra (2021) yang khusus berbincang tentang sumbangan penulis kaum India kepada perkembangan bahasa dan sastera kebangsaan.
Nathesan lahir pada 5 Oktober 1951 di Ladang Serkam, Melaka dan sudah tamat sekolah menengah apabila Dasar Pelajaran Kebangsaan 1971 dilaksanakan.
Walau bagaimanapun, beliau hanya mula menulis pada 1980-an bersama-sama generasi baharu seperti Saroja Theavy Balakrishnan dan Mahendran. Maka, mendiang lebih suka dianggap penulis seangkatan mereka.
Beliau belajar di Sekolah Menengah Gajah Berang, Melaka sebelum menjadi guru sementara di Sekolah Rendah Kebangsaan St. Aidan, Bahau, Negeri Sembilan. Pada 1976, selepas tamat latihan di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru, Nathesan mengajar di Jengka dan Mentakab, Pahang.
Mendiang tamat pengajian sarjana muda (linguistik), sarjana (sosiolinguistik) dan kedoktoran (semantik) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Beliau menjadi pensyarah dan Timbalan Ketua Jabatan Ilmu Pendidikan di Institut Pendidikan Guru(IPG) Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Johor sebelum bersara pada 2007.
Terdahulu, Nathesan menjadi guru di beberapa sekolah di Johor dan Pahang sebelum menjadi pensyarah di IPG Kent, Tuaran, Sabah pada 1991.Terakhir, beliau menjadi tenaga akademik sambilan di Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, Universiti Terbuka Malaysia (OUM), cawangan Melaka.
Beliau yang merupakan Munsyi Dewan sudah menulis 12 buku berkaitan bahasa Melayu dengan DBP sejak 1994. Tulisannya juga tersiar di akhbar pelbagai bahasa termasuk ‘Utusan Malaysia’ sejak 1987.
Ramai tidak tahu Nathesan penganut ajaran Baha’i dan bukannya beragama Hindu. Beliau terlibat dalam kerja terjemahan bahan bacaan dan surat berita komuniti Baha’i ke dalam bahasa kebangsaan sejak 1970-an.
Antara hasil terjemahannya ialah Bacaan Harian (1991), Satu Kehidupan Suci dan Nirmala (1991), Doa-doa Baha’i (1993), Kalimat-kalimat Tersembunyi (2016) dan Kitab-i-Aqdas (2016).
Malah, jasad mendiang disemadikan di Taman Peringatan Baha’i, Ayer Keroh, Melaka pada 22 Januari lalu. Untuk makluman, jenazah penganut Baha’i tidakboleh dibakar seperti tradisi Hindu kerana terdapat larangan tegas dalam Kitab-i-Aqdas.
Berbalik kepada penulisan berkaitan bahasa, linguistik dan semantik, rencana sulung tersiar di majalah Dewan Bahasa pada November 1988. Hasil semakan mendapati dari Januari 2001 hingga Januari 2019, sekitar 300 rencana beliau tersiar di majalah Dewan Bahasa, Pelita Bahasa dan Jurnal Dewan Bahasa.
Nathesan berminat mengkaji karya sastera dari sudut bahasa seperti semantik dan leksis dalam karya khususnya cerpen dan novel. Beliau juga selalu berkongsi maklumat mengenai asal usul pelbagai perkara demi manfaat pembaca.
Mendiang menerima Anugerah Penulis Bukan Melayu Johor pada 2016 sebagai mengiktiraf sumbangannya kepada bahasa kebangsaan, khususnya dalam penulisan buku dan makalah.
Untuk rekod, sepanjang hayat, Nathesan tidak pernah cuba menulis karya kreatif seperti cerpen dan sajak kerana mengaku tidak ada kecenderungan dan bakat sastera.
“Saya kira saya sudah begitu mendalami hal-hal kebahasaan sehingga susah untuk beralih kepada sastera, suatu bidang yang sama sekali berlainan. Minda saya minda bahasa. Saya melihat semua benda dari sudut bahasa, termasuk karya sastera,” katanya semasa perbualan kami pada Februari 2019.
Pada pendapat Nathesan, sastera merupakan satu genre tersendiri dengan ciri khusus yang perlu dikuasai oleh seorang penulis jika mahu menceburi bidang tersebut. Beliau bimbang tidak akan berjaya menghasilkan karya kreatif walaupun jika mencuba.Oleh itu, beliau tidak pernah cuba menulis karya sastera.
Saya masih ingat pertemuan kami pada 25 November 2020 apabila Nathesan pergi ke DBP untuk menduduki ujian bertulis bagi layak diiktiraf sebagai Munsyi Dewan.
Saya amat hairan kenapa seorang tokoh bahasa dan pakar linguistik sepertinya masih perlu mengambil ujian bertulis bersama-sama puluhan guru tuisyen yang hanya akan menggunakan gelaran Munsyi Dewan untuk menarik pelajar menyertai kelas tuisyen. Sepatutnya Nathesan diiktiraf sebagai Munsyi Dewan tanpa sebarang ujian.
Lebih malang apabila beliau diputuskan gagal dalam ujian tatabahasa yang diadakan. Saya masih ingat bagaimana saya segera menghubungi Ketua Pengarah DBP waktu itu, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran. Akhirnya, Nathesan diiktiraf sebagai Munsyi Dewan.


Menerusi rencana bertajuk DBP ketinggalan hurai asal usul perkataan bahasa Melayu (Utusan Malaysia, 30 November 2024), saya menyatakan rasa hairan dan kecewa dengan tindakan DBP tidak mengundang Nathesan menyertai sidang editor Kamus Etimologi Bahasa Melayu Dewan (2024).
Lalu, DBP menerusi kenyataan media beberapa hari kemudian menjawab, bidang etimologi memerlukan lebih banyak rujukan dan maklumat yang tersusun, sahih dan berwibawa serta Nathesan bukan pakar etimologi yang dilantik.
Walaupun pakar bahasa Melayu ini prolifik di majalah-majalah DBP sejak 1980-an, pada awal 2021, beliau memberitahu saya, editor majalah menyuruhnya berehat dan memberi peluang kepada penulis lebih muda.
Apabila DBP pada April 2021 menafikan hak orang Bukan Islam menggunakan ‘Tuhan’ dalam penulisan, Nathesan turut membantah dengan hujah linguistik. Selepas itu, beliau dipujuk menulis semula di majalah DBP mulai Februari 2022.
Nathesan seorang pendiam dan tidak berani bersuara menuntut hak. Saya gembira kerana pernah mengenali serta berpeluang membantu beliau dalam beberapa hal. Semoga sumbangan mendiang terus dikenang DBP dan pejuang bahasa Melayu.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan)










