Liverpool ikat pertahanan muda Perancis

Liverpool ikat pertahanan muda Perancis

Jeremy Jacquet
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Liverpool berjaya mengikat bintang Rennes, Jeremy Jacquet pada hari terakhir jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai perancangan menguatkan benteng pertahanan.

The Reds dilaporkan bersetuju membayar yuran perpindahan sehingga 60 juta pound (RM323 juta) untuk pemain pertahanan muda berpotensi tinggi itu sebelum jendela ditutup pada pukul 3 pagi, semalam.

Bagaimanapun pemain berusia 20 tahun itu tidak akan menyertai juara EPL sehingga musim panas walaupun Liverpool memerlukan tambahan kekuatan di posisi pertahanan yang kelihatan agak rapuh musim ini.

Terdahulu,Jacquet dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea awal bulan ini, tetapi dilaporkan menolak kerana persaingan sengit di posisi pertahanan tengah dalam skuad The Blues yang sarat pemain.

Liverpool pula kekurangan pilihan pertahanan tengah susulan kecederaan Joe Gomez dan Giovanni Leoni, situasi itu menarik perhatian Jacquet untuk menyertai skuad kendalian Arne Slot.

Pemain bawah 21 tahun Perancis itu hanya membuat 31 penampilan bersama Rennes, tetapi Liverpool dilaporkan akan membayar 55 juta pound (RM296 juta) sebagai bayaran awal dengan tambahan 5 juta pound (RM26.9 juta) bergantung kepada bonus.

Sementara itu, Crystal Palace menyambar penyerang Wolves, Jorgen Strand Larsen dengan rekod kelab bernilai 48 juta pound (RM258 juta) menerusi kontrak empat tahun setengah walaupun perpindahan Jean-Philippe Mateta ke AC Milan gagal dimuktamadkan.

Palace bertindak mendapatkan Strand Larsen selepas percaya Mateta akan meninggalkan kelab itu.

Penyerang Perancis itu tidak disenaraikan dalam skuad Palace ketika seri aksi EPL menentang Nottingham Forest kelmarin sebagai persediaan untuk berpindah ke AC Milan.

Cadangan perpindahan Mateta ke Serie A bagaimanapun gagal semalam selepas kebimbangan perubatan membabitkan kecederaan lutut, namun Palace tetap membawa masuk Strand Larsen.

“AC Milan meminta ujian lanjut di lututnya dan mereka tidak memberikan jaminan diperlukan untuk memuktamadkan perpindahan itu. Keputusan sudah dibuat untuk mempercepatkan ketibaannya enam bulan lebih awal. Perpindahan itu kini dibatalkan,” kata laporan AFP.

Kelab tercorot liga, Wolves menandatangani penyerang Southampton, Adam Armstrong dengan nilai 7 juta pound (RM37.7 juta) bagi menggantikan Strand Larsen.

Everton pula mendapatkan pemain sayap Chelsea berusia 19 tahun, Tyrique George secara pinjaman hingga akhir musim dengan pilihan menjadikannya perpindahan kekal pada hujung musim.

Chelsea memanggil semula Mamadou Sarr daripada tempoh pinjaman di Strasbourg untuk disatukan kembali dengan pengendali The Blues, Liam Rosenior yang pernah melatihnya di kelab Perancis itu awal musim ini. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN