LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan kebangkitan Viktor Gyokeres sebagai bukti penyerang Sweden itu telah menemui rentak terbaiknya selepas meledak dua gol dalam kemenangan bergaya 3-0 ke atas Sunderland di Stadium Emirates, semalam.
Gyokeres tampil sebagai watak utama separuh masa kedua selepas jaringan pembukaan Martin Zubimendi pada minit ke-42 membuka tirai dominasi The Gunners, sekali gus mengukuhkan cengkaman Arsenal di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).
Arteta mengakui prestasi Gyokeres sebelum ini sering menjadi bahan kritikan, terutama selepas perpindahannya bernilai 64 juta pound (RM365 juta) dari Sporting Lisbon, namun menegaskan, keyakinan menjadi faktor utama di sebalik lonjakan prestasi semasa pemain itu.
“Apabila seseorang pemain rasa dipercayai, disokong dan penting dalam pasukan, di situlah dia mampu membawa permainannya ke tahap tertinggi. Gyokeres kini berada dalam fasa itu,” kata Arteta.
Gyokeres kini muncul penjaring terbanyak Arsenal dengan 13 gol dalam semua pertandingan, termasuk enam gol daripada lapan penampilan terakhir, sekali gus membuktikan sentuhan berbisa semakin menjadi-jadi ketika musim memasuki fasa kritikal.
Dalam pada itu, Arteta menegaskan pasukannya tidak boleh leka meskipun berada di kedudukan selesa, lebih-lebih lagi dengan Manchester City masih berpeluang merapatkan jurang mata.
“Kami masih jauh daripada garisan penamat. Banyak perlawanan sukar menanti dan kami perlu kekal fokus bermula dengan aksi menentang Brentford,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










