Had kuasa teguhkan demokrasi

Had kuasa teguhkan demokrasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“DI mata saya, kejayaan atau kegagalan negara ini bukan terletak di bahu perdana menteri sahaja, tetapi semua 222 ahli Dewan Rakyat telah diamanahkan oleh rakyat sebagai wakil mereka dalam kerajaan. 

“Semua pihak sedia maklum keutamaan saya adalah keadaan hidup lebih 33 juta rakyat Malaysia di luar sana. Oleh itu, saya berharap semua Ahli Yang Berhormat akan menumpukan usaha untuk membela nasib hidup mereka bukannya untuk kepentingan parti politik atau diri sendiri.

“Ingin saya tegaskan di sini, yang saya tidak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara. Semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk. Jika ada hendak bermain politik, tunggulah masa pilihan raya yang akan datang.” – Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen Yang Ke-15.

Pada Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) membentangkan dua cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan menerusi D.R.4/2026 dan D.R.5/2026 . 

Rang Undang- Undang (RUU) tersebut masing-masing bertujuan bagi menghadkan tempoh lantikan seorang perdana menteri kepada jumlah agregat 10 tahun sahaja dan memisahkan bidang kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

RUU D.R.4/2026 dihasratkan bakal mengukuhkan tadbir urus demokrasi dalam pada negara masih mengalami kesan ketidakstabilan politik sejak lebih sedekad yang lalu bermula dengan ‘Langkah Kajang’ dan memuncak melalui ‘Langkah Sheraton’. 

Kedua-dua RUU berkenaan juga dilihat mampu memperkukuh proses semak dan imbang dalam pentadbiran negara bagi memastikan tiga cabang pentadbiran negara memainkan peranan masing-masing.

Lebih menarik lagi, cadangan pindaan di bawah RUU D.R.4/2026 turut terpakai kepada perdana menteri sebelum ini. Sebagai contoh, memandangkan Perdana Menteri Ke-9, iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanya memegang jawatan berkenaan setahun sebulan bermula dari 21 Ogos 2021 hingga 10 Oktober 2022, maka di masa hadapan, jika beliau memenangi pilihan raya dan dinamakan sebagai calon perdana menteri, hanya boleh memegang jawatan itu selama tempoh maksima sembilan tahun yang berbaki.

Pindaan ini mengambil kira trend sejagat di banyak negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan turut menghadkan tempoh lantikan ketua kerajaan. 

Sebagai contoh, di Amerika Syarikat (AS) sejak 1947 lagi, lantikan presiden dihadkan kepada tempoh dua penggal atau jumlah maksima lapan hingga 10 tahun.

Misalnya, Donald Trump pernah memegang jawatan sebagai Presiden AS ke-45 untuk tempoh di antara tahun 2017 hingga 2021. Namun, pada 2020, beliau tewas dalam pilihan raya kepada Joe Biden. 

Pada 2024, Trump berupaya memenangi pilihan raya dan dilantik semula sebagai presiden untuk  penggal kedua pada 20 Januari 2025. Trump kini menerajui pentadbiran AS sehingga 2029.

Di Mexico dan Korea Selatan pula, perlembagaan negara-negara ini bersifat lebih ekstrim dan tegas bila mana presiden negara hanya boleh berkhidmat dalam tempoh satu penggal yang tidak boleh diperbaharui. Langkah ini bagi mencegah pemerintahan diktator dan memastikan ketelusan demokrasi.

Manakala di beberapa negara lain, ketua kerajaan dibenarkan memegang jawatan lebih daripada satu penggal namun bukan dalam tempoh berturut-turut.

Sebagai contoh, negara Uruguay dan Peru membenarkan bekas presiden diundi dan dilantik semula sebagai presiden selagi mana penggal lantikan tidak terus-menerus.

Biar apa sekali pun sistem yang digunapakai bagi menghadkan tempoh lantikan ketua kerajaan, yang utama fokus kawalan perundangan ini diadakan bagi memastikan keseimbangan dalam sistem demokrasi. 

Sistem ini perlu diambil kira dalam konteks yang lebih meluas, khususnya kawalan melalui peruntukan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan yang turut membenarkan undian tidak percaya kepada mana-mana perdana menteri yang dirasakan kehilangan ‘kepercayaan’ ahli parlimen lain untuk memimpin negara.

Di AS, perlembagaan negara turut membenarkan proses pendakwaan atau khususnya impeachment bagi mendakwa mana-mana presiden yang melakukan kesalahan berat termasuklah khianat dan rasuah semasa memegang jawatan sebagai ketua kerajaan. 

Dalam sejarah AS, terdapat tiga presiden yang pernah melalui proses pendakwaan ini termasuklah Trump.

 

 

 

ELAK PEMUSATAN KUASA

Fokus utama proses demokrasi berparlimen yang digunapakai dalam negara ini adalah bagi mengelakkan pemusatan kuasa eksekutif dalam susuk seorang individu untuk tempoh panjang. Jangan nanti ada yang merasa diri berkuasa mutlak hingga merasa diri dibakar tak hangus, direndam tak basah.

Sebagai negara membangun maju yang terkenal dalam keseimbangan antara nilai tradisi dan kejituan modenisasi, Malaysia harus memastikan tampuk pimpinan negara dipegang oleh seorang yang berkelayakan dan mementingkan hak rakyat berbanding cita-cita politik peribadi mereka.

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×