PETALING JAYA: Gabungan muka lama yang berpengalaman dengan tenaga baharu dianggap ramuan terbaik membentuk kepemimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, meskipun ahli gabungan bebas membuat pilihan, gabungan muka bahru dan lama berpotensi membawa keseimbangan, menggabungkan pengalaman dengan idea segar serta visi baharu yang mampu memacu bola sepak negara ke hadapan.
“Jika hanya muka baharu, mereka perlukan masa untuk memahami perjalanan FAM dan menghadapi cabaran pentadbiran.
“Sebaliknya, orang lama yang berkaliber, berpengalaman dan mempunyai hubungan baik dengan FIFA, FAM atau AFC boleh memberi nilai tambah yang signifikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Zulakbal berkata, gabungan ini mampu mengurangkan risiko pentadbiran ‘business as usual’ yang kerap berlaku apabila hanya orang lama memimpin semula.
“Gabungan orang lama dan baru memberi peluang kepada perjalanan lebih lancar dalam usaha memajukan bola sepak negara,” ujarnya.
Beliau juga menekankan pentingnya ahli gabungan menilai calon secara teliti dalam memastikan badan induk itu dipimpin individu yang mampu membawa bola sepak negara ke peringkat yang lebih tinggi.
“Orang baru perlu benar-benar berkaliber, mempunyai pengalaman dalam perniagaan atau organisasi besar, dan bukan sekadar berpolitik dalam persatuan,” katanya.
Sebelum ini, ramai yang menyuarakan pandangan agar barisan pentadbiran FAM diisi muka-muka baharu. – UTUSAN










