Elavarasan akui tugas sukar berdepan JDT

Elavarasan akui tugas sukar berdepan JDT

E. Elavarasan mengendalikan sesi latihan skuad Melaka FC di Stadium Hang Tuah sebagai persiapan rapi berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka FC tidak meletakkan harapan besar untuk melakukan kejutan ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan pertama suku akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini.

Pengendalinya, E. Elavarasan mengakui akan kelebihan milik JDT yang seimbang di setiap posisi selain muncul satu-satunya pasukan yang belum kalah dalam Liga Super musim ini.

Menurutnya, bukan mudah menewaskan skuad harimau Selatan apatah lagi barisan Melaka FC yang akan diturunkan nanti sebahagian besar belum pernah beraksi dengan pasukan itu.

“Kita akan cuba menyaingi kekentalan JDT dan kalau boleh hendak elak daripada kalah teruk.

“Melaka FC kali ini adalah barisan baharu yang saya pilih dengan beberapa pemain tempatan dan import. Paling penting ini pengalaman terbaik kepada pemain bersaing dengan sebuah pasukan yang cukup hebat,” ujarnya pada sesi latihan di Stadium Hang Tuah, semalam.

Elavarasan berkata, dia akan mengadakan barisan paling ampuh bagi mengimbangi kekuatan JDT.

Jelasnya, setakat ini dia berpuas hati dengan prestasi semasa pasukan bimbingannya selepas menewaskan Sabah menerusi agregat 5-2 untuk layak ke suku akhir Piala Malaysia dan seri 1-1 dengan DPMM FC dalam saingan Liga Super.

“Saya akan menurunkan kesebelasan terbaik berdepan JDT dan berharap tidak ada pemain mengalami kecederaan sepanjang sesi latihan sebelum bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim nanti,” ujarnya.

Jurulatih itu tetap menyandarkan harapan kepada penyerang tinggi lampai dari Mesir, Ahmed Shamsaldin untuk cemerlang menerajui jentera serangan menggempur benteng ampuh JDT.

Katanya, penyerang berusia 32 tahun setakat ini sudah menjaringkan tiga gol menerusi dua penampilannya sewaktu berdepan Sabah dan DPMM FC.

Untuk rekod JDT menewaskan Melaka FC 7-1 dalam saingan Liga Super November tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN