De Zerbi ke Old Trafford?

De Zerbi ke Old Trafford?

Roberto De Zerbi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Episod Roberto De Zerbi bersama Olympique Marseille berakhir lebih awal daripada jangkaan apabila pengendali dari Itali itu meninggalkan kelab Ligue 1 berkenaan dengan serta-merta, semalam.

Keputusan drastik itu hadir ketika Marseille bergelut dengan prestasi tidak menentu musim ini, termasuk tersingkir awal dalam saingan Liga Juara-Juara di tangan Club Brugge serta kekalahan memalukan 0-5 kepada seteru tradisi, Paris Saint-Germain (PSG).

Menurut laporan RMC Sport, De Zerbi, 46, masih memimpin sesi latihan kelmarin sebelum mengadakan pertemuan tertutup bersama pemain dan pengurusan kelab.

Hasil perbincangan tersebut menyaksikannya membuat keputusan untuk tidak lagi meneruskan tugas bersama pasukan itu.

Difahamkan, bekas pengendali Brighton itu kecewa dengan komitmen sebahagian pemain serta kegagalan pasukan menunjukkan reaksi positif selepas dibelasah PSG.

“Selepas perbincangan antara pemilik, presiden, pengarah bola sepak dan jurulatih, diputuskan untuk membuat perubahan di pucuk pimpinan pasukan utama.

“Keputusan ini sukar tetapi dibuat demi kepentingan kelab, bagi menangani cabaran sukan penghujung musim. Kami mengucapkan terima kasih kepada De Zerbi atas dedikasi dan profesionalismenya,” menurut Marseille dalam satu kenyataan.

Marseille dijangka melantik jurulatih sementara bagi mengendalikan aksi menentang Strasbourg hujung minggu ini, sementara pencarian pengganti sedang digerakkan.

De Zerbi menyertai Marseille pada Jun 2024 selepas dua musim mencipta impak bersama Brighton.

Musim pertamanya di Perancis cukup memberangsangkan apabila berjaya membawa kelab itu menamatkan saingan di tangga kedua Ligue 1 sekali gus kembali ke pentas Eropah.

Namun, musim keduanya bertukar hambar, selain kegagalan di Eropah dan kekalahan besar kepada PSG, dia juga dikatakan berdepan ketegangan dalaman membabitkan pengarah sukan, Medhi Benatia serta pemain, Mason Greenwood.

Keputusan itu menyaksikan nama De Zerbi kembali hangat di England dan dia dikaitkan dengan beberapa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), termasuk Manchester United yang dilaporkan sedang merancang rombakan besar menjelang musim panas.

Pengendali itu pernah ditemu duga oleh INEOS pada Mei 2024 dan dianggap antara calon utama menggantikan Erik ten Hag sebelum jawatan berkenaan diserahkan kepada Ruben Amorim.

Selain United, Tottenham Hotspur turut dilaporkan berminat mendapatkan khidmatnya, menjadikan De Zerbi antara jurulatih Itali paling diburu menjelang jendela perpindahan akan datang. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN