Atlet Sukan SEA, Para ASEAN dapat ‘durian runtuh’

Atlet Sukan SEA, Para ASEAN dapat ‘durian runtuh’

Atlet para renang, Abdul Halim Mohammad dan atlet wushu, Tan Cheong Min dipilih penerima Anugerah Atlet Terbaik pada Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Sukan SEA Thailand dan Sukan Para ASEAN 2025 di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jaguh renang negara, Khiew Hoe Yean dan ratu wushu, Tan Cheong Min muncul antara penerima tertinggi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

Hoe Yean membuktikan statusnya sebagai jaguh renang negara apabila membawa pulang RM32,000 hasil sumbangan dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa pada Sukan SEA 2025 sekali gus penerima SHAKAM tertinggi dalam kategori individu.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu sebelum ini dinobatkan sebagai Bintang Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2024, menandakan konsistensi prestasinya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Tidak ketinggalan, Cheong Min turut menikmati ‘durian runtuh’ apabila menerima RM26,666.67 selepas cemerlang mempertahankan penguasaan mutlak dalam acara nanquan, nangun dan nangdao wanita, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai atlet wushu nombor satu di rantau Asia Tenggara.

Sementara atlet para renang negara, Abdul Halim Mohammad penerima tertinggi RM62,000.00 sementara atlet para wanita Carmen Lim RM39,000.00

Menurut Cheong Min, kejayaan tersebut adalah hasil perancangan rapi serta sokongan menyeluruh pelbagai pihak sepanjang musim persiapan yang mencabar.

“Saya tidak berjuang bersendirian. Sokongan Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Persekutuan Wushu Malaysia serta rakan atlet sangat besar maknanya.

“Latihan intensif di China selama tiga bulan banyak membantu, malah memberi kekuatan mental walaupun saya berdepan kecederaan,” katanya.

Secara keseluruhan, kontinjen negara menamatkan kempen Sukan SEA di kedudukan keempat dengan kutipan 57 pingat emas, 57 perak dan 117 gangsa, melepasi sasaran awal 200 pingat apabila mengumpul keseluruhan 231 pingat.

Sebagai penghargaan, kerajaan mengagihkan SHAKAM berjumlah RM2.652 juta kepada atlet daripada 46 jenis sukan, mencerminkan pengiktirafan terhadap pengorbanan dan komitmen mereka di pentas antarabangsa.

Menariknya, sukan hoki muncul sebagai penerima SHAKAM tertinggi secara keseluruhan merangkumi hoki padang, hoki dalam dewan dan hoki lima sebelah, sekali gus menegaskan kekuatan sukan berpasukan negara dalam temasya dwitahunan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN