Amorim 'kunci' kebangkitan Man United - Cunha

Amorim ‘kunci’ kebangkitan Man United – Cunha

Matheus Cunha
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Penyerang Manchester United, Matheus Cunha menyifatkan sentuhan taktikal Ruben Amorim sebagai antara faktor utama yang mencetus kebangkitan baharu The Red Devils meskipun pasukan itu kini dikendalikan sementara oleh Michael Carrick.

Cunha yang berhijrah dari Wolverhampton Wanderers dengan nilai perpindahan tinggi menegaskan, pengaruh Amorim tidak pernah pudar dalam bilik persalinan The Red Devils.

Malah, dia percaya aura dan reputasi pengendali dari Portugal itu menjadi tarikan utama kepada ramai pemain muda untuk menyertai kelab gergasi England berkenaan.

“Orang mudah melihat tempoh lalu sebagai satu masalah. Tetapi bagi saya, beliau adalah individu luar biasa.

“Ramai pemain baharu datang kerana beliau, jadi beliau juga memainkan peranan besar dalam kejayaan yang kami nikmati sekarang,” kata Cunha.

Menurut penyerang Brazil itu, kritikan terhadap pendekatan tiga pertahanan tengah yang sering dikaitkan dengan Amorim sebenarnya terlalu dibesar-besarkan.

Katanya, struktur permainan pasukan ketika ini masih mengekalkan asas yang sama, termasuk ketika bertahan di bawah kendalian Carrick.

“Tekanan terlalu tinggi supaya sistem itu terus membuahkan hasil membuatkan orang lupa gambaran besar.

“Kami menyerang dengan pelbagai variasi, dan akhirnya bertahan dalam formasi yang sebelum ini dikaitkan dengan Ruben,” ujarnya.

Sejak Carrick mengambil alih tugas sementara, United dilihat semakin stabil dan berani mengawal tempo perlawanan.

Cunha sendiri sudah membuktikan sentuhan berbisa apabila meledak dua gol serta satu bantuan jaringan dalam lima aksi terakhirnya.

Cabaran seterusnya menanti United apabila mereka dijadual berdepan Everton awal pagi Selasa ini sebelum menerima kunjungan Crystal Palace di Old Trafford hujung minggu nanti. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN