Selangor yakin peluang 50-50

Selangor yakin peluang 50-50

Chrigor Flores Moraes (kanan) dan Mohamad Faisal Abdul Halim akan memainkan peranan penting dalam pertembungan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), esok. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor FC tidak mahu terlalu merendah diri berdepan kesebelasan Johor Darul Ta’zim (JDT) malah menganggap peluang kedua-dua pasukan tetap sama rata dalam pertembungan aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), esok.

Bekas pemain Selangor, Azlan Johar berkata, meskipun peluang perlawanan adalah 50-50 dengan kelebihan bermain di laman sendiri, namun beliau tidak menolak JDT masih pasukan yang konsisten dan mempunyai barisan pemain serangan yang mantap.

“Walaupun tanpa kelibat Arif Aiman, JDT masih mempunyai pemain pengganti yang berkualiti dan berbahaya.

“Selangor harus berhati-hati dengan gandingan serangan mereka yang mampu menjaringkan gol pada bila-bila masa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Azlan turut menegaskan bahawa pertemuan kali ini menjadi ujian sebenar buat JDT selepas membawa masuk penyerang baharu dari Brazil, Yago da Silva, yang berpotensi memberi impak besar dalam perlawanan.

“Pemain baru ini pasti ingin membuktikan kehebatannya. Selangor tidak boleh memandang remeh terhadap kehadiran beliau dan pemain-pemain baharu lain,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kelebihan JDT bukan sahaja pada pemain import di bahagian serangan, malah pemain tengah dan pertahanan mereka juga cukup berbahaya dan mampu mencipta peluang menjaringkan gol.

“Selangor perlu bersiap sedia sepenuhnya dan tidak boleh leka sepanjang 90 minit perlawanan. Hormat di antara pemain amat penting dan perlawanan ini pastinya sengit,” katanya.

Azlan juga menyeru pemain Selangor supaya menggunakan sepenuhnya kelebihan bermain di laman sendiri untuk membalas dendam kekalahan sebelum ini dalam Piala Sumbangsih.

Untuk rekod, kali terakhir dua pasukan gergasi ini bertemu ialah pada Ogos lalu dalam aksi Piala Sumbangsih 2025 yang juga merupakan aksi pembukaan Liga Super 2025/26 yang berkesudahan skuad Harimau Selatan muncul juara selepas membenam Selangor FC 3-0. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN