MELBOURNE: Aryna Sabalenka berada di landasan terbaik untuk memburu gelaran ketiga Terbuka Australia dalam tempoh empat tahun selepas menewaskan pemain Amerika Syarikat (AS), Iva Jovic 6-3, 6-0 di suku akhir di Melbourne Park, semalam.
Pemain No.1 dunia itu, yang muncul juara pada 2023 dan 2024 serta naib juara tahun lalu akan bertemu pemain Ukraine, Elina Svitolina yang menewaskan Coco Gauff bagi merebut tempat ke perlawanan akhir pada Sabtu ini.
“Pemain remaja ini benar-benar menguji saya dalam beberapa pusingan kebelakangan ini. Jangan lihat pada keputusan, ia langsung tidak mudah.
“Dia bermain tenis yang luar biasa, memaksa saya meningkatkan tahap permainan. Ia satu perlawanan yang sukar.
“Perlawanan berlangsung dalam cuaca yang panas. Saya gembira mereka menutup bumbung hampir separuh jadi kami mempunyai banyak tempat teduh di bahagian belakang,” kata Aryna.
Pada aksi yang berlangsung dalam cuaca panas terik dengan suhu mencecah 38 darjah Celsius, menyaksikan Aryna memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila mendahului 3-0 dalam set pertama.
Malah, Iva dipaksa bekerja keras oleh pemain Belarus itu untuk mengekalkan servisnya dalam game keempat bagi mendapatkan sedikit momentum dalam set berkenaan.
Pemain berusia 18 tahun itu yang membuat penampilan pertama dalam suku akhir Grand Slam, menggunakan kelajuan pergerakannya di gelanggang untuk mengecewakan lawannya yang lebih berpengalaman namun Aryna akhirnya menamatkan set pertama dalam masa kurang sejam.
Aryna lebih dominan dalam set kedua apabila memperolehi tujuh ace dalam servisnya untuk memenangi perlawanan itu sekali gus mara dengan penuh bergaya ke separuh akhir. – AGENSI/UTUSAN










