BOURNEMOUTH: Jaringan berganda Declan Rice memastikan Arsenal bangkit menewaskan Bournemouth 3-2, sekali gus melebarkan kelebihan enam mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.
Pemain tengah itu mengakui mentaliti pasukan berada di tahap terbaik selepas bangkit meraih kemenangan dan Rice turut memuji karakter ditunjukkan Gabriel.
“Ia menunjukkan karakter Gabriel selepas melakukan kesilapan dan bagaimana dia bermain sepanjang baki perlawanan. Ini juga mencerminkan mentaliti pasukan. Perkara paling penting adalah tiga mata dan kami sedang membina momentum,” kata Rice.
Rice yang kembali diturunkan selepas terlepas kemenangan 4-1 kepada Aston Villa akibat kecederaan, meletakkan Arsenal di depan di awal babak kedua apabila percubaannya menewaskan penjaga gol, Dorde Petrovic, sebelum menambah satu lagi gol hasil hantaran pemain gantian, Bukayo Saka.
Tuan rumah membuka jaringan apabila bek Arsenal, Gabriel melakukan kesilapan dengan memberikan bola terus kepada Evanilson yang mudah menyudahkan peluang pada minit ke-10, bagaimanapun, Gabriel segera menebus kesilapan itu apabila menyamakan kedudukan enam minit kemudian.
Arsenal tampak menguasai perlawanan selepas dua jaringan Rice, namun pemain gantian Bournemouth, Junior Kroupi menewaskan David Raya bagi merapatkan jurang.
Pasukan kendalian Mikel Arteta bagaimanapun bertahan sehingga wisel penamat untuk meraih kemenangan kelima berturut-turut dan kini mengumpul 48 mata daripada 20 perlawanan, diikuti Aston Villa dengan 42 mata manakala Manchester City yang bermain kurang satu perlawanan memiliki 41 mata.
“Declan Rice bergelut beberapa hari kebelakangan ini tetapi tetap memaksa diri untuk bersedia bermain. Dia bermain selama 96 minit, menjaringkan dua gol dan menjadi antara pemain terbaik di atas padang. Inilah mentaliti yang kami perlukan,” kata Arteta. -AGENSI/UTUSAN










