PETALING JAYA: Semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025–2029 meletakkan jawatan masing-masing serta-merta, semalam demi prinsip dan mengurangkan risiko tindakan lebih buruk terhadap badan induk itu.
Bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, keputusan dibuat sebulat suara dengan mengambil kira tanggungjawab organisasi tanpa kepentingan peribadi.
Menurut beliau, keputusan diambil merupakan langkah berhemah dan berprinsip yang diambil susulan situasi terkini bola sepak negara yang telah menarik perhatian umum.
“Jawatankuasa Eksekutif mengambil tanggungjawab bersama dan keperluan untuk bertindak dengan cara melindungi integriti FAM.
“Peletakan jawatan ini adalah bertujuan untuk mencapai objektif bagi menjaga reputasi dan kepentingan organisasi FAM serta mengurangkan risiko lebih buruk yang boleh menjejaskan bola sepak Malaysia secara keseluruhan.
“Peletakan jawatan ini juga bagi menegakkan prinsip tadbir urus yang baik dan akauntabiliti, terutamanya dalam keadaan di mana keyakinan awam perlu dipelihara,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Wisma FAM, semalam.
Menurut Mohd Yusoff, peletakan jawatan itu juga menyediakan ruang sewajarnya kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk bebas menilai, meneliti dan jika perlu menangani perkara berkaitan tadbir urus serta hal ehwal pentadbiran FAM.
Katanya, langkah berkenaan juga bagi memastikan sebarang pembaharuan yang perlu dilaksanakan dapat dijalankan tanpa gangguan atau konflik persepsi dan dengan asas kepercayaan yang tinggi.
“Peletakan jawatan ini menunjukkan bahawa khidmat kepada bola sepak Malaysia lebih utama berbanding tempoh jawatan, walaupun Exco FAM telah diberikan mandat selama empat tahun (penggal 2025–2029), melepaskan jawatan secara sukarela selepas 11 bulan dipilih.
“Selain itu, langkah ini juga bagi memulihkan keyakinan dalam kalangan penyokong, pihak berkepentingan, rakan kongsi, dan komuniti bola sepak secara keseluruhan. Mengekalkan kredibiliti institusi adalah penting bagi kestabilan, kelestarian, dan pembangunan masa depan bola sepak Malaysia,” katanya.
Sementara itu katanya, barisan Exco akan tetap memberikan kerjasama penuh kepada FIFA, AFC dan semua pihak berkepentingan yang relevan sekalipun tidak lagi memegang sebarang jawatan, selain mereka menekankan komitmen masing-masing terhadap kepentingan jangka panjang bola sepak Malaysia.
Dalam pada itu, Mohd. Yusoff memaklumkan, pentadbiran FAM akan diambil alih oleh jawatankuasa interim yang diketuai Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman bagi menjalankan operasi harian dan menandatangani cek kewangan.
“Tentu sekali jawatauasa ini akan bersama AFC, kita jemput AFC untuk tadbir urus sehingga pemilihan akan datang. Mereka (AFC) akan lihat kelemahan dalam FAM dan tiada tempoh masa diberikan untuk mereka membuat penilaian,” katanya. – UTUSAN










