Masa hadapan negara terletak pada ilmu, inovasi

Masa hadapan negara terletak pada ilmu, inovasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EKONOMI  pengetahuan merujuk pengetahuan, maklumat dan modal intelek sebagai pemacu utama pertumbuhan dan penciptaan nilai. 

Jenis ekonomi ini meletakkan penekanan kepada keupayaan inovasi, kemahiran tinggi dan aset tak ketara seperti harta intelek, teknologi dan data sekali gus berbeza dengan ekonomi tradisional yang bergantung kepada tanah, buruh fizikal serta modal ketara.

Bank Dunia mendefinisikan ekonomi pengetahuan sebagai ekonomi yang menggunakan pengetahuan secara berkesan untuk pembangunan ekonomi dan sosial melalui empat tunjang utama iaitu pendidikan, inovasi, infrastruktur maklumat serta persekitaran institusi yang kondusif. 

Dalam konteks ini, daya saing sesebuah negara ditentukan oleh keupayaannya mencipta, menyerap dan mengaplikasi pengetahuan baharu.

Transformasi struktur ekonomi ialah proses semula jadi yang dialami semua negara dalam perjalanan pembangunan. Menurut teori tiga sektor yang diperkenalkan Fisher, Clark dan Fourastie, ekonomi berkembang daripada dominasi sektor pertanian kepada perindustrian, sebelum beralih kepada sektor perkhidmatan.

Namun, realiti abad ke-21 menuntut evolusi yang lebih mendalam. Dunia kini bergerak ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan, yang m ana nilai tidak lagi berpaksikan sumber fizikal, sebaliknya bertumpu pada modal intelek, daya inovasi dan keupayaan teknologi.

Malaysia, sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi, sedang berada di titik perubahan penting dalam trajektori pembangunannya. Kejayaan transformasi daripada ekonomi berasaskan komoditi kepada industri pembuatan menjadi landasan untuk melangkah lebih jauh. 

Langkah seterusnya menuntut anjakan strategik ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan yang mampu memperkukuh daya saing nasional dan menjamin kemakmuran jangka panjang. 

Dalam konteks ini, Bank Dunia memperkenalkan Kerangka Empat Tunjang Ekonomi Pengetahuan merangkumi rejim insentif ekonomi dan institusi kondusif,  sistem pendidikan dan latihan yang melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi,    infrastruktur maklumat dan komunikasi kukuh serta  sistem inovasi dinamik. Keempat-empat tunjang ini saling berhubung dan mesti dibangunkan secara seimbang untuk memastikan transformasi holistik.

Ciri teras ekonomi pengetahuan ialah peralihan kelebihan daya saing daripada penggunaan sumber tradisional seperti tanah, buruh dan modal fizikal kepada faktor berasaskan pengetahuan. Syarikat global terkemuka seperti Apple, Microsoft dan Alphabet menjadi contoh terbaik bagaimana harta intelek, algoritma dan ekosistem digital menjadi pemacu utama nilai ekonomi moden.

Menurut Global Knowledge Index terbitan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Malaysia kini berada di tangga ke-43 daripada 195 negara. Kedudukan ini menggambarkan pencapaian sederhana sekali gus menuntut tindakan strategik untuk dipertingkatkan, khususnya jika dibandingkan dengan Singapura yang berada dalam kelompok 20 negara teratas. 

Jurang prestasi ini menandakan meskipun Malaysia mencatat kemajuan ekonomi yang ketara, namun transformasi ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan masih belum sepenuhnya direalisasikan. Dari sudut struktur ekonomi, sektor perkhidmatan kini menyumbang sekitar 56 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala sektor pembuatan menyumbang 37 peratus. Namun, komposisi sektor perkhidmatan Malaysia masih banyak tertumpu terhadap aktiviti berkemahiran rendah dan sederhana. Sementara bidang berintensifkan pengetahuan seperti teknologi maklumat, penyelidikan dan perkhidmatan profesional masih menyumbang bahagian kecil, sekali gus menunjukkan ruang besar untuk memperkukuh ekosistem ekonomi berasaskan pengetahuan.

Antara cabaran terbesar dalam melangkah ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan ialah pembangunan modal insan. Era ini memerlukan tenaga kerja yang bukan sekadar berpendidikan tinggi tetapi juga memiliki keupayaan berfikir secara kritikal, kreatif dan adaptif. 

Namun, sistem pendidikan Malaysia masih banyak berakar pada budaya penghafalan dan penilaian peperiksaan, yang sering kali mengehadkan keupayaan pelajar berinovasi.

Lebih membimbangkan, lebih sejuta rakyat Malaysia berpendidikan tinggi kini bekerja di luar negara yang melemahkan kapasiti modal insan dalam negeri.

Cabaran kedua berkait dengan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D). Walaupun Malaysia berhasrat memperuntuk dua peratus daripada KDNK untuk R&D, namun perbelanjaan sebenar masih sekitar satu hingga 1.2 peratus. 

Angka ini mencerminkan ekosistem inovasi negara belum cukup matang untuk merangsang ciptaan baharu secara meluas. Tambahan pula, sebahagian besar aktiviti R&D masih tertumpu di sektor awam, dengan penyertaan sektor swasta yang masih terbatas.

Cabaran ketiga ialah pelaburan dalam aset tak ketara. Dalam ekonomi moden, nilai syarikat banyak bergantung pada perisian, pangkalan data, harta intelek dan modal organisasi. Namun, di Malaysia, pelaburan sebegini masih rendah kerana sistem pembiayaan belum cukup menyokong aset yang sukar dicagar dan dinilai tetapi sangat bernilai dalam jangka panjang.

 

EKONOMI berasaskan pengetahuan menjadi keperluan jika Malaysia mahu terus maju dan kekal berdaya saing.

HALA TUJU STRATEGIK

 Langkah pertama yang perlu diberi keutamaan ialah mereformasi sistem pendidikan secara menyeluruh. Fokus harus beralih daripada pendekatan berasaskan hafalan kepada pedagogi yang mengasah pemikiran kritikal, daya kreativiti serta keupayaan menyelesaikan masalah kompleks. Kurikulum perlu sentiasa dikemas kini agar selari dengan tuntutan era digital, termasuk literasi teknologi, analitik data dan kemahiran abad ke-21. Pada masa sama, hubungan antara institusi pendidikan dan industri mesti diperkuat agar setiap graduan bersedia memenuhi keperluan pasaran sebenar.

 Langkah kedua melibatkan pengukuhan ekosistem inovasi negara. Malaysia perlu meningkatkan perbelanjaan R&D, khususnya dalam sektor swasta yang masih menunjukkan penyertaan sederhana. 

Struktur insentif fiskal juga wajar diteliti semula agar benar-benar mendorong pelaburan dalam inovasi. Di samping itu, kolaborasi antara universiti, institut penyelidikan dan industri perlu dipertingkat bagi mempercepatkan pengkomersialan hasil penyelidikan tempatan.

Akhir sekali, strategi mengekalkan serta menarik bakat perlu diperhebat. Ini merangkumi penyediaan peluang kerjaya menarik, skim ganjaran yang kompetitif dan persekitaran kerja yang progresif. 

Program penglibatan diaspora serta inisiatif menggalakkan kepulangan profesional Malaysia di luar negara boleh menjadi pemangkin kepada kekuatan modal insan nasional.

Transformasi ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan menjadi keperluan mendesak bagi Malaysia untuk keluar daripada perangkap pendapatan sederhana dan melangkah ke arah negara maju. Kedudukan dalam Indeks Pengetahuan Global menunjukkan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki, khususnya dalam pembangunan modal insan, pelaburan penyelidikan dan inovasi.

Walaupun memiliki asas yang kukuh seperti infrastruktur yang baik, kedudukan strategik dan rakyat berbilang bahasa, namun kejayaan sebenar bergantung pada keberanian melaksanakan reformasi dan komitmen jangka panjang terhadap bakat serta inovasi. 

Masa untuk bertindak adalah sekarang, kerana dalam persaingan global yang semakin sengit, kelewatan hanya akan menyebabkan negara terus ketinggalan.-UTUSAN

 

DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Wang dan Bank Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×