Exco FAM usah 'bersandiwara'

Exco FAM usah ‘bersandiwara’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mengutamakan masa depan badan induk itu dalam arena bola sepak mengatasi kepentingan lain.

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli melihat spekulasi mengenai ‘pusingan U’ yang dipetik daripada sumber dalaman mungkin benar ataupun sebaliknya.

Pun begitu, beliau berpandangan semua exco terbabit wajar meletakkan masa depan bola sepak sebagai keutamaan bukannya kepentingan peribadi.

Menurutnya, peletakan jawatan Exco FAM yang didakwa pada 28 Januari ini disifatkan antara langkah terbaik dalam menyusun semula struktur baharu badan induk bola sepak negara.

Namun, Pekan berharap supaya tiadanya ‘pakatan gelap’ dalam pemilihan semula Exco FAM akan datang yang dijangka dilakukan empat bulan kemudian selepas peletakan jawatan berlaku.

Beliau berkata, FAM memerlukan barisan baharu yang segar dan paling penting meraih semula kepercayaan peminat serta badan induk dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Bagi saya pada 28 Januari ini adalah penentu segalanya. Untuk kata ada yang bakal buat pusingan u atau tidak, saya pun tidak tahu kerana apa sahaja boleh berlaku.

“Janganlah hari ini mereka letak jawatan dan kembali bertanding semula dan barisan sama kekal, kalau begitu perkara sama serta tiada perubahan. Kita nak lihat muka-muka baharu pimpin FAM,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan spekulasi kemungkinan akan berlaku ‘pusingan U’ pada 28 Januari ini selepas dikatakan sembilan exco badan induk itu masih berkira-kira untuk melepaskan jawatan.

Tambah Pekan, negara tidak pernah ketandusan calon pemimpin baharu yang boleh memimpin FAM dan mereka perlu diberi ruang dan peluang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN