Cedera lutut paksa Mbappe rehat sebulan

Cedera lutut paksa Mbappe rehat sebulan

Kylian Mbappe mengalami terseliuh pada lutut kiri. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Real Madrid menerima tamparan hebat dalam usaha mengejar pendahulu La Liga, Barcelona apabila bintang utama mereka, Kylian Mbappe disahkan mengalami kecederaan terseliuh lutut kiri.

Perkara itu disahkan kelab berkenaan Rabu lalu selepas pemeriksaan perubatan dijalankan ke atas penyerang Perancis itu oleh pasukan perubatan Real Madrid.

“Selepas ujian dijalankan hari ini, Kylian Mbappe didiagnosis mengalami terseliuh pada lutut kiri dan kini menunggu perkembangan seterusnya,” menurut kenyataan rasmi kelab.

Sumber terdekat pemain berusia 27 tahun itu memaklumkan beliau dijangka berehat sekurang-kurangnya tiga minggu walaupun tempoh pemulihan sebenar belum diumumkan secara rasmi.

Mbappe yang kini mendahului carta penjaring La Liga dengan 18 gol berkemungkinan terlepas aksi liga menentang Real Betis hujung minggu ini ketika Real ketinggalan empat mata di belakang Barcelona.

Beliau turut diragui untuk beraksi dalam separuh akhir Piala Super Sepanyol menentang Atletico Madrid di Arab Saudi pada 8 Januari ini selain perlawanan liga menentang Levante dan aksi Liga Juara-Juara Eropah bertemu bekas kelabnya, Monaco.

Musim 2025 menyaksikan Mbappe berada pada prestasi terbaik apabila menyamai rekod Cristiano Ronaldo dengan 59 gol dalam satu tahun kalendar bersama Real Madrid.

Kecederaan Mbappe menambah lagi senarai panjang pemain utama yang terpaksa diketepikan termasuk Daniel Carvajal, Eder Militao, Trent Alexander-Arnold, Federico Valverde serta Brahim Diaz yang kini beraksi di Piala Negara-Negara Afrika (AFCON). – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN