AFC ambil alih urus FAM

AFC ambil alih urus FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan membentuk jawatankuasa sementara untuk menguruskan pentadbiran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas difahamkan kesemua barisan exco badan induk bola sepak negara itu akan meletak jawatan.

Menurut sumber, tindakan itu dibuat selepas semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM sebulat suara melepaskan jawatan masing-masing pada 28 Januari ini.

“Beberapa jam selepas Exco FAM letak jawatan pada 28 Januari ini, AFC akan masuk untuk ambil alih pentadbiran FAM dan mereka akan buat sidang akhbar dari masa ke semasa.

“Semua Exco FAM telah sepakat untuk melepaskan jawatan demi bola sepak negara dan perkara itu sudah dibincang dalam pertemuan minggu lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut sumber itu lagi, jawatankuasa sementara oleh AFC akan menguruskan badan induk bola negara sehingga pemilihan baharu dibuat dalam tempoh yang bakal dinyatakan.

Difahamkan, tindakan melepaskan jawatan dan memberi laluan kepada AFC untuk menguruskan FAM buat bagi mengelak badan induk itu digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan dakwaan pemalsuan dokumen pemain warisan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, campur tangan sementara dalam pentadbiran FAM hanya dibuat sekiranya barisan Exco FAM melepaskan jawatan secara rasmi.

“Jika mereka tidak meletakkan jawatan, FAM akan terus berjalan seperti biasa. Kami tidak boleh buat apa-apa. Tetapi sekiranya berlaku kekosongan, barulah kita mencari jalan untuk membentuk satu pengurusan sementara sehingga pemilihan baharu diadakan,” katanya.

Menurut Windsor, sekiranya Exco FAM meletakkan jawatan secara beramai-ramai, AFC bersedia membantu dalam tempoh singkat bagi memperbaiki aspek urus tadbir, namun campur tangan itu bukan bersifat jangka panjang.

“Tempoh itu bergantung kepada apa yang perlu diperbetulkan. Kalau sedikit perubahan sahaja, masa yang diperlukan tidak lama. Berdasarkan pengalaman di negara lain, biasanya tempoh pengurusan sementara adalah antara tiga hingga sembilan bulan,” jelasnya.

Windsor turut menjelaskan, sekiranya satu jawatankuasa sementara perlu dibentuk, AFC lazimnya akan melantik individu yang benar-benar bebas daripada pengurusan terdahulu, termasuk pakar dalam bidang undang-undang atau kewangan.

Namun, katanya, pembentukan jawatankuasa itu masih bergantung kepada keperluan semasa memandangkan FAM masih mempunyai Setiausaha Agung serta Presiden Kehormat yang boleh meneruskan tugasan harian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×