LEEDS: Tekanan kem Liverpool semakin memuncak dalam saat prestasi pasukan merudum apabila Mohamed Salah mengejutkan Anfield dengan kenyataan penuh emosi yang memberi isyarat beliau sudah tiba ke penghujung karier bersama The Reds.
Penyerang sensasi dari Mesir itu tidak langsung diturunkan ketika Liverpool terikat 3-3 menentang Leeds United semalam.
Ini merupakan kali ketiga berturut-turut beliau ‘disimpan’ di bangku simpanan oleh pengurus, Arne Slot.
Salah nyata tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa tatkala merasakan dirinya kini menjadi ‘kambing hitam’ di sebalik kejatuhan Liverpool.
“Saya amat, amat kecewa. Saya sudah lakukan begitu banyak untuk kelab ini sepanjang tahun.
“Sekarang saya duduk di bangku simpanan dan saya tidak tahu kenapa. Seolah-olah kelab sudah menghumban saya ke bawah bas,” katanya.
Salah turut mendakwa terdapat janji yang tidak ditunaikan serta hubungan baiknya dengan Slot kini seolah-olah hilang begitu sahaja.
“Saya rasa jelas seseorang mahu semua kesalahan diletakkan ke atas saya seperti ada seseorang yang tidak mahukan saya di sini,” tambahnya.
Lebih mengejutkan, bintang berusia 32 tahun itu mengakui perlawanan di Anfield menentang Brighton hujung minggu depan mungkin detik terakhirnya di hadapan penyokong Liverpool sebelum ke Piala Negara-Negara Afrika.
“Saya akan nikmati perlawanan itu kerana saya tidak tahu apa akan berlaku selepas ini… mungkin saya akan ucap selamat tinggal,” katanya. – AGENSI/UTUSAN









