KUALA LUMPUR: Kehadiran beregu profesional, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani di Akademi Badminton Malaysia (ABM) semalam disifatkan sebagai suntikan positif yang mampu meningkatkan mutu latihan dan daya saing skuad kebangsaan.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berkata, sesi latihan bersama gandingan No.7 dunia itu membolehkan pemain kebangsaan merasai pengalaman bersaing dengan rakan sepasukan bertaraf dunia, sekali gus menaikkan tahap sparring mereka.
Menurut Herry, Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky telah memberi kelulusan kepada pemain profesional bebas untuk menyertai sesi latihan di ABM dua kali seminggu sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia yang dijadualkan pada 6 Januari depan.
“Kelmarin, Rexy ada mesej saya untuk pemain profesional latih bersama dalam satu minggu itu dua kali. Saya bersetuju untuk persiapan Terbuka Malaysia.
“Pemain profesional mungkin kekurangan rakan sepelatih. Jadi apabila berlatih bersama di sini menguntungkan kedua-dua pihak,” katanya selepas sesi latihan di ABM, Bukit Kiara, semalam.
Dalam pada itu, jurulatih dari Indonesia itu turut berpandangan persaingan sihat antara pemain kebangsaan dan profesional akan memberi kesan positif kepada peningkatan prestasi kedua-dua pihak.
“Setakat ini pandangan saya, sparring itu lebih baik dan lebih bagus kerana tahap pemain profesional ini memang di atas dan setara.
“Kalau sesi stroke mereka ikut stroke, kalau permainan mereka ikut strategi dan semuanya ikut program dari sini,” katanya.
Herry bagaimanapun menjelaskan sesi latihan bersama itu buat masa ini hanya dirancang dalam jangka pendek bagi persiapan Terbuka Malaysia dan belum ada perbincangan lanjut sama ada ianya akan diteruskan sehingga Piala Thomas 2026 pada April ini. – UTUSAN










