PETALING JAYA: Isu dokumentasi dan pengurusan pemain kebangsaan kembali diperkatakan apabila Jawatankuasa Bebas (IIC) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendedahkan kronologi kontroversi membabitkan tujuh pemain yang didakwa layak mewakili Harimau Malaya.
Menurut IIC, pada awal 2025, FAM menubuhkan Pasukan Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Malaysia (MNFTS) dengan tujuan memperkukuh struktur pasukan serta mempercepat proses merekrut pemain berdarah warisan dan asing bagi memperkasakan skuad kebangsaan.
MNFTS diketuai oleh Robert Friend, yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan diberikan autonomi penuh untuk mengurus hal ehwal pasukan kebangsaan.
“MNFTS diberi tanggungjawab untuk memperkukuh pasukan dan memastikan kelayakan pemain, termasuk pemain asing, bagi mengangkat prestasi pasukan kebangsaan.
“FAM memberikan autonomi sepenuhnya kepada MNFTS untuk mengurus dan mentadbir Pasukan Kebangsaan. Semua keputusan berkaitan pentadbiran dan pengurusan pemain berada di tangan mereka,” kata Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi ketika memberi keterangan di hadapan IIC pada 25 November lalu.
Friend, yang hadir memberi keterangan pada 17 November lalu pula menjelaskan, beliau dilantik sebagai CEO pada Januari tahun ini berdasarkan kontrak rasmi.
Beliau menegaskan bahawa ejen-ejen pemain bertanggungjawab menyediakan dokumen berkaitan untuk memastikan tujuh pemain itu layak mewakili Malaysia.
“Sebagai CEO, saya tidak terbabit dan tidak mempunyai pengetahuan awal mengenai sebarang dakwaan pemalsuan dokumen. Semua dokumen berkaitan kes ini disediakan oleh ejen pemain,” jelas Rob Friend.
Keterangan beliau selaras dengan kenyataan bertulis yang dikemukakan oleh tujuh pemain terbabit kepada IIC, sekali gus menekankan bahawa pengurusan MNFTS diberikan kuasa penuh untuk menjalankan tanggungjawab.
Walaupun dakwaan pemalsuan dokumen masih belum dapat dipastikan secara muktamad, IIC menegaskan isu ini mencerminkan kepentingan pengawasan dan ketelusan dalam pengurusan pasukan kebangsaan.
Penubuhan MNFTS dianggap langkah strategik FAM untuk meningkatkan profesionalisme dan mempercepat pembangunan pasukan, namun ia juga menimbulkan persoalan tentang prosedur dan kawalan dalaman.
IIC menekankan bahawa peranan ejen pemain dan autonomi MNFTS menjadi tumpuan utama dalam siasatan jawatankuasa, termasuk bagaimana dokumen disediakan dan dikendalikan tanpa pengawasan rapi.
Pengurusan yang telus dan sistematik dianggap kritikal bagi memastikan insiden serupa tidak berulang pada masa depan, sekali gus mengekalkan integriti pasukan kebangsaan. – UTUSAN










